'Tak mahu dengan ibu, mahu pak cik bas 'Uncle Selvam''

Naura Rania menaiki bas untuk ke sekolah. (Gambar kanan: Hari ketiga persekolahan, Naura Rania bersama pak cik bas selepas tamat sesi persekolahan sambil menunggu murid yang lain.)
Naura Rania menaiki bas untuk ke sekolah. (Gambar kanan: Hari ketiga persekolahan, Naura Rania bersama pak cik bas selepas tamat sesi persekolahan sambil menunggu murid yang lain.)
A
A
A

SHAH ALAM – Sikap mesra dan layanan baik seorang pemandu bas sekolah berbangsa India dikenali 'Uncle Selvam' terhadap murid-murid menjadikannya individu istimewa dalam kalangan kanak-kanak di sebuah taman perumahan di Mentakab, Pahang.

Seorang ibu, Munirah Abd Ghani, 36, berkongsi pengalaman anak sulungnya, Naura Rania Mohd Khuzaimie yang berusia enam tahun begitu teruja menaiki bas sekolah buat pertama kali, walaupun sebelum ini tidak mengenali pemandu tersebut.

Menurutnya, meskipun baru hari ketiga persekolahan, anaknya sudah menunjukkan minat untuk menaiki bas sekolah.

"Hari pertama dan kedua sekolah, anak saya hanya memerhati rakan naik bas, tetapi pada hari ketiga, dia sudah bersama pak cik bas selepas tamat sesi persekolahan sambil menunggu murid lain. Mungkin dia sudah mengenali individu tersebut.

"Pak cik bas memang datang awal sekitar jam 11.30 pagi, walaupun waktu sekolah tamat pada 11.40 pagi.

"Pada mulanya, saya agak terkejut kerana anak saya tidak mengenalinya, tetapi begitu cepat mesra. Namun, setelah mendengar cerita tentang kebaikannya daripada penduduk perumahan di sini, saya faham mengapa anak saya bertindak begitu. Mungkin dia berasa selesa," katanya kepada Sinar Harian.

Munirah memuji sikap pemandu bas tersebut yang bukan sahaja mesra, tetapi juga mengambil berat tentang keselamatan murid-murid.

“Bagi saya, perkhidmatannya sangat bagus. Dia mengambil anak saya di depan rumah dan menghantarnya sehingga ke pintu kelas.

Artikel Berkaitan:

"Anak saya kini hanya mahu ke sekolah jika dihantar dan diambil oleh pak cik bas dan tidak mahu pergi ke sekolah jika tak naik bas 'uncle'.

"Jadi, saya terpaksa beritahu pak cik bas untuk mengambilnya setiap hari. Jam 6 pagi anak saya sudah menunggu di depan rumah kerana takut tertinggal," ujarnya.

Menurut Munirah, anaknya semakin bersemangat ke sekolah kerana gembira dapat menaiki bas bersama rakan-rakan.

“Dia cakap naik bas seronok sebab ada ramai kawan. Saya pun rasa lega kerana anak saya selamat di bawah jagaan orang yang baik,” katanya.

Munirah turut memaklumkan bahawa pemandu bas tersebut sudah lama dikenali penduduk setempat kerana sikapnya yang ramah sejak zaman bujang hingga kini.

“Sejak tahun 2005 lagi, dia memang begitu. Sekarang, dia dan isterinya tetap mesra serta mengambil berat tentang kanak-kanak.

"Semoga sikap pasangan ini menjadi contoh kepada pemandu bas lain yang tetap melayan murid dengan baik, walaupun berlainan agama dan bangsa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!