'Maritim Malaysia berdepan penjenayah agresif, anggota ditetak, buta'

KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berdepan ancaman penjenayah semakin agresif ketika menjalankan tugas memperketat kawalan sempadan perairan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa insiden serius telah berlaku termasuk serangan terhadap pegawai Maritim Malaysia oleh nelayan Vietnam pada 2023.
"Pada tahun 2023, seorang pegawai Maritim Malaysia ditetak di kepala oleh nelayan Vietnam.
"Pada 2024 pula, seorang anggota Maritim Malaysia mengalami kehilangan penglihatan kekal akibat insiden tembakan di perairan Kunak, Sabah. Pasukan kita juga pernah diserang dengan bom ikan di perairan Pulau Timbun Mata, Kunak, Lahad Datu," katanya dalam sidang akhbar Tinjauan Penguatkuasaan Op Khas Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di Pusat Hidrografi Nasional, di sini pada Rabu.
Turut hadir Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohamad Rosli Abdullah.
Beliau berkata, penjenayah semakin berani bertindak ganas, justeru Maritim Malaysia perlu dilengkapi dengan aset dan peralatan moden bagi meningkatkan keupayaan mereka dalam menangani ancaman ini.
"Kerajaan komited memperkukuh keupayaan Maritim Malaysia dengan pemilikan aset baharu, termasuk kapal KM Tun Fatimah.
"Selain itu, kerajaan telah bersetuju memperoleh kapal induk baharu daripada syarikat Desan Shipyard, Turkiye. Perjanjian ini dimeterai ketika lawatan Presiden Turkiye ke Malaysia baru-baru ini," jelasnya.
Saifuddin berkata, kapal tersebut dijangka mula beroperasi pada suku pertama tahun 2027 dan akan memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan maritim negara.
Dalam pada itu, beliau berharap Op Khas Pagar Laut Siri 1/2025 sempena musim perayaan akan mencapai objektif dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terjamin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
