MCW: Hukuman berat perlu terhadap rasuah pendaftaran kelahiran

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan bahawa hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam rasuah berkaitan pendaftaran lewat kelahiran serta penggunaan dokumen sokongan palsu.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, jenayah tersebut bukan sahaja mencemarkan integriti institusi kerajaan, tetapi juga mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
"Dalang utama yang terlibat dalam jenayah ini perlu menerima hukuman berat sebagai isyarat jelas bahawa penyalahgunaan kuasa tidak akan diterima sama sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menyambut baik tindakan pantas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Outlander dan Op Birth dalam membanteras aktiviti tidak bermoral ini.
"Rasuah dalam pendaftaran kelahiran adalah jenayah serius yang perlu ditangani segera," tegasnya.
Bagi memastikan ketelusan, MCW menggesa kerajaan memperketat mekanisme pemantauan dalam proses pendaftaran kelahiran, terutama bagi kes pendaftaran lewat, bagi mengelakkan manipulasi dan eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
MCW turut mencadangkan supaya kerajaan mempercepatkan penggunaan teknologi digital dalam sistem pendaftaran kelahiran. Langkah ini dapat mengurangkan campur tangan manusia serta meningkatkan ketelusan dan keselamatan maklumat.
Selain itu, perlindungan terhadap pemberi maklumat juga perlu diperketat bagi memastikan individu yang tampil dengan pendedahan kes rasuah tidak menghadapi ancaman atau tekanan.
"Pegawai kerajaan serta petugas barisan hadapan yang terlibat dalam pendaftaran dokumen rasmi perlu diberikan latihan berkala mengenai integriti dan kesan buruk rasuah terhadap negara serta masyarakat," katanya.
MCW menegaskan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan setiap kes rasuah dibongkar dan tidak berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

