X

Kindly register in order to view this article
!

Pesakit Covid-19 ditawar ganjaran RM6,000 untuk serah diri

Seorang doktor yang telah sembuh mendermakan plasma darah di sebuah hospital di wilayah Hubei yang akan digunakan sebagai sebahagian daripada prosedur merawat pesakit Covid-19. - FOTO: AFP
A
A

SHANGHAI - Sebuah bandar di wilayah Hubei yang menjadi pusat epidemik koronavirus (Covid-19) akan memberikan kira-kira 10,000 Yuan (RM6,000) kepada mana-mana penduduk jika mereka melaporkan simptom penyakit itu secara proaktif dan kemudiannya disahkan positif selepas menjalani ujian.

Qianjiang yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Wuhan dan mempunyai populasi penduduk kira-kira sejuta orang telah merekodkan 197 kes dan turut meningkatkan usaha untuk memastikan pesakit yang dijangkiti Covid-19 diasingkan serta dirawat.

"Ganjaran itu hanya diberikan kepada mereka yang didiagnos positif Covid-19 dan tidak termasuk pesakit yang dijangkiti sebelum ini. Ia bertujuan untuk menggalakkan orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan," kata pasukan petugas Qianjiang dalam satu kenyataan.

Difahamkan, mereka yang terjejas akibat wabak itu akan diberikan 1,000 Yuan (RM600) manakala individu di bawah kes yang disyaki akan menerima 2,000 Yuan (RM1,200).

Kawasan lain di Hubei termasuk daerah Hanyang dan bandar Huangguang juga menawarkan ganjaran wang tunai serendah 500 Yuan (RM300) kepada individu yang secara sukarela menjalani pemeriksaan perubatan.

Media melaporkan wilayah Jiangxi dan Hebei turut memberi sagu hati kira-kira 300-500 Yuan(RM200-300).

Sehingga kini, wilayah Hubei telah melaporkan lebih 65,000 kes jangkitan dan lebih 2,600 kematian akibat wabak membawa maut itu. - Agensi