Ringgit ditutup mengukuh dipacu kenaikan yuan

Pengukuhan ringgit turut dipacu oleh kenaikan yuan didorong oleh tindakan bank pusat China bagi merangsang mata wang berkenaan - Gambar hiasan
Pengukuhan ringgit turut dipacu oleh kenaikan yuan didorong oleh tindakan bank pusat China bagi merangsang mata wang berkenaan - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT mengakhiri urus niaga Khamis dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan yang lemah dan membayangkan kadar faedah lebih terkawal oleh negara-negara maju, terutama AS.

Pengukuhan ringgit itu turut dipacu oleh kenaikan yuan yang mengatasi jangkaan awal, didorong oleh tindakan bank pusat China bagi merangsang mata wang berkenaan.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6435/6485 daripada dolar AS berbanding 4.6575/6610 pada akhir urus niaga semalam.

Angka PMI pembuatan terkini bagi AS, Eropah dan UK kekal di bawah paras 50 mata dengan masing-masing mencatatkan 47.0, 43.7 dan 42.7 mata.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit kekal dalam julat lebih kecil, di tengah-tengah sentimen pasaran yang kurang jelas dalam masa terdekat.

Beliau turut menyifatkan angka PMI bagi negara-negara maju itu hanya membuktikan bahawa sentimen perniagaan yang hambar.

"Pasaran tidak pasti mengenai (hala tuju) tindakan dalam membendung inflasi menerusi langkah dasar monetari lebih ketat yang memberi kesan terhadap pertumbuhan.

"Berikutan itu, ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell dalam Simposium Jackson Hole pada Jumaat (esok) akan dipantau rapat oleh penggiat pasaran,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, di peringkat tempatan, ringgit kebanyakannya diniagakan meningkat berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8829/8892 daripada 5.8880/8924 semalam dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1932/1968 daripada 3.2026/2052.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding euro kepada 5.0373/0427 daripada 5.0348/0385 sebelum ini.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit kebanyakannya mencatat prestasi lebih mengukuh.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4292/4332 daripada 3.4309/4340 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.2645/2848 daripada 13.2813/2970, sebelum ini.

Ringgit juga naik berbanding peso Filipina kepada 8.17/8.19 daripada 8.21/8.22 namun rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 304.5/305.0 daripada 304.4/304.8. - Bernama