Jangan jadikan pembangkang tebusan politik - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar tidak menjadikan pembangkang sebagai tawanan dan tebusan politik demi mendapatkan sokongan di Parlimen.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tidak perlu mempersulitkan rundingan dengan meletakkan syarat yang tidak masuk akal sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas ingin membantu.

Beliau juga mendakwa Anwar seolah-olah ingin menjadikan pembangkang sebagai ‘budak suruhan’ kerana mengenakan syarat yang tidak sepatutnya seperti tidak boleh mengkritik kerajaan.

“Apa yang kami persoalkan ialah kebebasan pembangkang. Kalau kita terima syarat yang digariskan awal itu, menunjukkan dia nak ‘mandulkan’ pembangkang. Nak jadikan pembangkang ‘budak suruhan’ dalam Parlimen.

“Tak boleh kritik kerajaan, ini benda tersirat yang kami faham. Sedangkan nak bagi peruntukan berapa? RM300,000? Baik tak payah.

“Kerajaan kata salurkan peruntukan kepada agensi kerajaan bagi pembangunan besar, pembangunan kecil pula disalurkan kepada penghulu Madani daripada parti-parti dia. Mereka ini tiada akauntabiliti sebab rakyat tak mengundi mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Laporan Sinar Harian berkaitan peruntukan pembangkang.
Laporan Sinar Harian berkaitan peruntukan pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan pembangkang menolak Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sebelum ini kerana syarat yang ditetapkan kerajaan disifatkan terlalu ketat dan tidak adil.

Artikel Berkaitan:

Ekoran itu, Perdana Menteri menempelak Muhyiddin namun menyatakan bahawa ruang perbincangan antara kerajaan dan pembangkang berhubung perkara itu sentiasa terbuka.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim pula menegaskan bahawa pembangkang mempunyai hak untuk mendapatkan peruntukan memandangkan ia termaktub dalam undang-undang.

Beliau juga mengingatkan bahawa Anwar sendiri sebelum ini memberitahu dalam jawapan di Parlimen, bahawa tiada syarat dikenakan dan ia adalah sebahagian daripada manifesto beliau sebelum menjadi Perdana Menteri lagi.

Awang
Awang

“Rundingan ini sepatutnya tak perlu terikat dengan syarat. Kita ada kerajaan dan pembangkang tapi kalau ada syarat-syarat yang mengikat pembangkang, tak ada makna negara demokrasi.

“Pembangkang peranannya adalah mengkritik segala rang undang-undang (RUU) yang ada kelemahan supaya kerajaan dapat tambah baik. Contohnya baru-baru ini, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

“Pembangkang bukan menolak tapi nak supaya ia ditangguhkan agar boleh dilihat secara lebih mendalam dan perincikannya. Kita tak mahu ada ruang kelemahan yang akhirnya nanti diambil peluang, itu yang kita minta,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat turut menafikan kenyataan Anwar bahawa gaji yang diterima ahli Parlimen termasuk pelbagai elaun boleh mencecah sehingga antara RM30,000 hingga RM40,000.

“Elaun yang diterima ahli Parlimen pembangkang juga perlu dikeluarkan untuk pusat khidmat wakil rakyat, bakul makan untuk penduduk kawasan, penyelidik dan pemandu.

“Dalam keadaan lain terpaksa juga peruntukkan untuk sumbangan jika berlaku kematian, kenduri kahwin dan selebihnya digunakan bagi berulang alik ke mesyuarat Parlimen.

“Sebagai ahli parti juga, kami perlu berikan sumbangan untuk parti bergerak menggunakan gaji dan elaun yang diterima.

“Kita minta PM faham bagaimana Pas bergerak, jadi tak perlu nak bangkitkan dapat duit peruntukan Parlimen, kita nak masuk poket. Tidak ada,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!