Pensyarah UiTM maut, motosikal dilanggar lori buat pusingan U

JASIN - Seorang pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jasin maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori sebelum terperosok bawah kenderaan berat itu di Jalan Datuk Mulia, berhampiran Taman Scientex, Serkam di sini, pada tengah hari Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Hamdan Sulaiman, 34, yang beralamat di Klebang Kecil maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, mangsa dipercayai dari arah bulatan Scientex Serkam menghala ke arah UiTM Jasin.
Menurutnya, kenderaan berat yang dipandu lelaki berusia 62 tahun bersama kelindan turut berada di arah yang sama dan berada di hadapan motosikal mangsa.
Namun katanya, setiba di lokasi kejadian, lori berkenaan secara tiba-tiba telah membuat pusingan U secara melulu di garisan berkembar.

"Bagaimanapun motosikal yang ditunggang mangsa tidak sempat brek dan mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan lori terbabit.
"Impak pelanggaran itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Tambahnya, pemandu lori hanya mengalami sakit dada dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi, di talian 011-11127533 atau Kaunter Aduan Trafik IPD Jasin di talian 06-529 2222 sambungan 260,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!