Warga emas maut motosikal ditunggang dilanggar lori

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kuantan-Kemaman di sini pada Khamis. Foto Facebook Polis Trafik Kuantan
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kuantan-Kemaman di sini pada Khamis. Foto Facebook Polis Trafik Kuantan
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran simpang Pantai Batu Hitam, di sini pada Khamis.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.05 pagi itu, mangsa, A Rahman A Bakar, 82, beralamat dari Kampung Batu Hitam disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Balok menghala ke Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 dipercayai keluar dari bahu jalan secara tiba-tiba untuk menukar haluan ke kanan.

"Pada masa sama, lori jenis Daihatsu yang dipandu seorang lelaki dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah manakala pemandu lori berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!