[VIDEO] SPRM tidak pernah tutup kes ADUN Sabah, bukti baharu dikemuka akan diteliti

A
A
A

KOTA KINABALU – Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan bahawa SPRM tidak pernah menutup kes melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak supaya bersabar sementara SPRM mendapatkan keterangan serta mengkaji video yang dikatakan sebagai versi penuh oleh pihak berkaitan.

"Kami tidak pernah kata kami tutup kes ini, sebab itu saya memohon semua orang supaya bersabar. Semua orang nak cepat perkara ini diselesaikan, saya pun nak cepat kes ini diselesaikan, namun kita kena ikut dasar undang-undang.

"Jadi, apabila keluarnya yang dikatakan video yang tulen, begitu cepat kami memanggil peguam tersebut dan dia sekarang berada di pejabat untuk kita menerima keterangan berkenaan.

"Kita sedang merakam percakapannya kerana beliau menjadi saksi dan beliau menerima video berkenaan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini pada Selasa.

Azam Baki
Azam Baki

Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM juga akan merakam percakapan pemberi maklumat pada Rabu bagi memperhalusi lagi siasatan tersebut.

"Jadi, sudah tentu Albert Tei telah dibuat perjanjian, mungkin esok percakapannya akan dirakam bagi kami menghalusi lagi siasatan ini. Sudah tentu daripada itu, kita akan meneruskan siasatan ini berdasarkan bukti-bukti yang baru kita terima.

"Saya tidak tahu lagi (sama ada video tulen atau versi penuh). Yang baru diserahkan kepada kami ini, saya tidak boleh membuat apa-apa kesimpulan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita kena tengok sama ada keterangan yang diberikan kepada kita ini boleh diterima atau tidak. Jadi, tidak ada isu di mana kami cuba nak melambat-lambatkan atau cuba melindungi mana-mana pihak dalam kes ini," katanya.

Tegas beliau lagi, keputusan akan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya untuk memutuskan seseorang itu didakwa atau sebaliknya.

"Bukan keputusan kami sebagai penyiasat, jadi tidak boleh mana-mana pihak seolah-olah mengatakan kami yang membuat keputusan menuduh atau tidak, ia terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Jadi, mana-mana pihak yang merasakan perlu diberi perlindungan, saya tidak boleh memberi sebarang jaminan. Siasatan sedang dijalankan kepada semua pihak dan mana-mana yang didapati oleh Pegawai Pendakwa Raya mempunyai kes untuk dituduh di mahkamah, saya tiada kuasa untuk melarangnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!