[VIDEO] SPRM siasat ketulenan video libatkan Speaker DUN Sabah - Azam Baki

A
A
A

KOTA KINABALU – Video yang dimuat naik oleh sebuah portal berita melibatkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya pada Isnin akan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menentukan ketulenan bahan tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan akan dijalankan susulan video terbaharu itu, namun seperti yang telah ditegaskan sebelum ini, video tersebut mestilah tulen dan tidak disunting.

"Apabila keluar lagi video dan sebagainya, kita ambil video itu dan kita akan kaji sama ada ia tulen ataupun tidak. Sebarang video atau audio yang telah disunting ataupun diubah suai dan sebagainya.

"Jadi, beliau (Speaker) belum lagi dipanggil buat masa sekarang. Kita perlu menganalisis bukti dan melihat sejauh mana ia benar. Jika ia perlu disiasat, barulah kita siasat," katanya.

Azam Baki. Foto Bernama
Azam Baki. Foto Bernama

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi menegaskan bahawa bahan yang telah disunting tidak akan diterima sebagai bukti di mahkamah.

"Untuk makluman, video-video yang dikeluarkan oleh Malaysiakini sebelum ini, lapan kesemuanya, seperti yang saya telah sebutkan, semuanya telah disunting.

"Jadi, sebarang video yang disunting tidak boleh dijadikan bahan bukti kerana ini telah diputuskan oleh mahkamah dan disahkan oleh bahagian forensik kami di SPRM.

"Sebarang video ataupun audio yang telah diedit ataupun diubah suai dan sebagainya, pergilah ke mana-mana mahkamah, setakat ini ia tidak akan menjadi satu bahan yang boleh diterima oleh mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azam turut menegaskan bahawa siasatan SPRM dijalankan berdasarkan panduan undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Jadi, sekiranya ada pihak yang boleh memberikan kami lebih banyak panduan dari segi undang-undang, kami akan pertimbangkan, tetapi buat masa ini, kami menjalankan siasatan berdasarkan undang-undang serta SOP yang telah ditetapkan.

"Saya merujuk perkara ini kepada pegawai undang-undang kami yang ditempatkan di SPRM dan juga pegawai-pegawai yang berkelayakan dari segi undang-undang.

"Jadi, kita dipandu sepenuhnya oleh undang-undang dan juga pegawai pendakwa dalam menjalankan siasatan.

"Kita tidak menjalankan siasatan di luar bidang undang-undang atau berdasarkan persepsi orang ramai. Kita juga merujuk kepada kes-kes lampau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan dalam menjalankan siasatan.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Kadzim menafikan menerima wang sebanyak RM350,000 seperti yang didakwa dalam video tersebut selain mendakwa beliau diperingkat sama seperti lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang dikaitkan dengan skandal rasuah melibatkan lesen melombong mineral di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!