Bung Moktar cadang kerajaan negeri, majikan nilai semula struktur gaji di Sabah

Bung Moktar (gambar kecil) mencadangkan kerajaan negeri bersama pihak industri dan majikan membuat penilaian semula terhadap struktur gaji terutama melibatkan graduan baharu di Sabah. Gambar hiasan
Bung Moktar (gambar kecil) mencadangkan kerajaan negeri bersama pihak industri dan majikan membuat penilaian semula terhadap struktur gaji terutama melibatkan graduan baharu di Sabah. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan kerajaan negeri bersama pihak industri dan majikan membuat penilaian semula terhadap struktur gaji terutama melibatkan graduan baharu di Sabah.

Katanya, isu gaji rendah dihadapi graduan di Sabah, termasuk dakwaan mengenai bayaran RM1,800 yang diminta dianggap terlalu tinggi memerlukan penilaian dan penyelesaian lebih holistik.

"Isu ini semakin membimbangkan apabila golongan anak muda yang berkelayakan akademik terpaksa berdepan dengan gaji yang tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup mereka yang semakin meningkat.

"Keadaan ini tidak seharusnya dipandang ringan. Anak muda adalah pemangkin utama dalam pembangunan ekonomi negeri dan negara, dan mereka sepatutnya diberikan peluang untuk berkembang dalam persekitaran yang adil.

"Bagi menangani isu ini, kerajaan negeri bersama dengan pihak industri dan majikan perlu melakukan penilaian semula terhadap struktur gaji, terutamanya bagi graduan baharu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan itu lagi, gaji permulaan perlu disesuaikan dengan kos hidup yang semakin tinggi dan majikan harus dipertanggungjawabkan untuk menawarkan gaji yang lebih adil serta munasabah berdasarkan kelayakan akademik serta pengalaman kerja graduan.

"Kerajaan negeri juga perlu memperkenalkan insentif atau subsidi kepada majikan yang menawarkan gaji lebih tinggi kepada graduan tempatan.

"Langkah ini bukan sahaja akan memberi galakan kepada sektor swasta untuk memberi peluang pekerjaan yang lebih baik, tetapi juga dapat membantu mengurangkan jurang kemiskinan yang wujud di kalangan golongan muda Sabah," katanya.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, peningkatan program latihan kemahiran dalam bidang yang berpotensi tinggi di pasaran juga menjadi langkah yang perlu diberi perhatian.

Artikel Berkaitan:

"Program latihan dalam bidang teknologi, keusahawanan dan industri kreatif amat penting untuk memastikan graduan Sabah memiliki kemahiran yang relevan dan berdaya saing.

"Kerjasama lebih erat antara kerajaan negeri dan sektor swasta juga amat diperlukan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti, terutamanya dalam sektor-sektor utama seperti pelancongan, perindustrian, pertanian moden, serta teknologi digital.

"Kerajaan negeri juga perlu meningkatkan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur, terutamanya penyediaan akses internet berkelajuan tinggi dan kemudahan pusat inovasi teknologi.

"Langkah ini akan memacu pertumbuhan sektor-sektor baharu yang memerlukan kemahiran digital dan teknikal, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang yang relevan dengan perkembangan semasa," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu juga menyarankan agar kerajaan negeri menyediakan bantuan kewangan atau geran bagi graduan yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan.

"Ini akan memberikan peluang kepada anak muda Sabah untuk memulakan perniagaan mereka sendiri dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan bukan hanya untuk diri mereka, tetapi juga untuk masyarakat sekitar," katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar menegaskan bahawa penyelesaian terhadap masalah gaji rendah di kalangan graduan memerlukan usaha kolektif daripada semua pihak, termasuk kerajaan negeri, sektor swasta dan masyarakat.

"Penyelesaian yang holistik dan berterusan adalah kunci untuk memastikan anak muda Sabah mendapat peluang yang lebih baik dan mampu menikmati kehidupan yang berkualiti, setara dengan usaha dan pengorbanan mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!