Tembikai mula turun harga akibat lambakan bekalan - Peniaga

KUANTAN - Permintaan terhadap tembikai yang melonjak sepanjang Ramadan berikutan cuaca panas menyebabkan ramai memilih buah itu sebagai pelepas dahaga ketika berbuka.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi mendapati bekalan tembikai mencukupi, malah harganya menunjukkan penurunan kepada RM2 hingga RM2.50 sekilogram berbanding RM3 sebelum ini.
Peniaga, Salahuddin Yaakob, 34, berkata jualan tembikai meningkat mendadak sehingga mencecah RM1,500 sehari.

Menurutnya, bekalan tembikai diperoleh dari Kelantan, Terengganu dan Rompin.
"Alhamdulillah, setakat ini sambutan baik cuma kadang-kadang harga turun naik. Tapi tetap ada pelanggan dan memang laku walaupun ada yang datang beli separuh," katanya ketika ditemui Sinar Harian di gerainya di Balok, di sini, pada Selasa.

Ketika ditanya mengenai harga semasa, Salahuddin menjelaskan lambakan bekalan dari kebun menyebabkan harga borong menurun, sekali gus membolehkan peniaga menjual pada harga lebih rendah.
"Buah banyak sangat sekarang, jadi harga dari kebun pun turun dan kita boleh jual murah," jelasnya.
"Kalau mula-mula puasa hari itu RM3, tapi sekarang sudah turun kepada RM2 sekilogram," tambahnya.

Seorang lagi peniaga, Halimah Kasim, 44, berkata tembikai bersaiz besar lebih laris tetapi kebanyakan pelanggan memilih untuk membeli separuh bagi memastikan buah kekal segar.
Menurutnya, tembikai tanpa biji dengan isi merah terang lebih digemari kerana rasanya yang manis dan berjus.
"Ada pelanggan menjadikannya sebagai hidangan sampingan atau pencuci mulut untuk mengembalikan tenaga selepas berpuasa," katanya.

Dia turut memberitahu, permintaan tinggi membolehkan mereka menjual antara 10 hingga 12 tan tembikai sehari.
Selain itu, katanya, tembikai berisi kuning selalunya dijual pada harga lebih tinggi di pasar raya sekitar RM3.90 sekilogram.
"Tetapi di gerai kami, harganya sama sekitar RM2.20 hingga RM2.50 sahaja," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

