Kenyataan MP Bachok mengelirukan, cuba perlekeh sistem perundangan negara - MPM

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM) membidas kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, yang disifatkan tidak logik dan mengelirukan berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri ke-9.
Pengerusi Biro Kepimpinan & Pentadbiran Negaranya, Shahbudin Embun mendakwa, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak logik tetapi juga mencerminkan percubaan untuk memperlekehkan sistem perundangan negara.
“Pertama, apakah yang dimaksudkan dengan ‘dua tafsiran’? Dalam siasatan kes jenayah, fakta dan bukti dikemukakan ialah perkara utama. Jika siasatan telah menemui timbunan wang tunai berjuta-juta dari euro ke yuan serta jongkong emas, apakah tafsiran lain yang wujud selain daripada persoalan jelas.
“Daripada mana datangnya harta ini dan adakah ia diperoleh secara sah? Sebenarnya, apakah yang cuba dimainkan oleh Bachok dalam hal ini?
“Adakah Bachok mahu menyatakan SPRM boleh secara ajaib mencipta wang tunai dan jongkong emas ketika proses siasatan?,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Mohd Syahir mendakwa siasatan SPRM ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemungkinan wujud lebih dua tafsiran berbeza.
Menurutnya, dua tafsiran itu sama ada agensi berkenaan tegas melawan rasuah atau menjadi 'perkakas' melawan musuh politik.
Dalam pada itu, Shahbudin berpendapat, bahawa sikap sesetengah pihak yang mengulas sesuatu isu berdasarkan emosi dan ideologi politik tanpa mempertimbangkan rasional boleh menjejaskan kepercayaan terhadap sistem keadilan negara.
“Ini jelas dalam kenyataan Bachok, yang lebih cenderung mempertahankan individu daripada menghormati proses keadilan atau integriti siasatan. Kedua, kita harus melihat kepada logik dan proses perundangan, sitaan hanya boleh dilakukan jika terdapat asas kukuh serta bukti sahih.
“Mahkamah tidak akan membenarkan sebarang sitaan jika ia dibuat tanpa asas perundangan kukuh. Oleh itu, dakwaan kononnya siasatan ini bermotifkan politik adalah tidak masuk akal.
“Ketiga, jika bekas Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan harta yang disita, mengapa beliau masih berdiam diri? Jika benar beliau tidak terlibat, bukankah lebih baik untuk tampil menjelaskan dan membersihkan namanya?,” ujarnya.
Beliau menegaskan, jika benar SPRM bertindak tidak adil atau membuat tuduhan palsu, peguam bekas Perdana Menteri sudah mengambil tindakan undang-undang, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
Sejurus itu, Shahbudin mendakwa kenyataan Mohd Syahir tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah cuba menanam keraguan terhadap sistem keadilan negara.
“Sedangkan sebagai wakil rakyat, beliau sepatutnya menghormati prinsip kedaulatan undang-undang, bukan mengeluarkan kenyataan yang membangkitkan spekulasi murahan. Siasatan SPRM bukanlah satu bentuk hukuman, tetapi sebahagian daripada proses perundangan yang memastikan keadilan ditegakkan.
“Biarlah siasatan berjalan tanpa gangguan politik, negara kita mengamalkan prinsip pengasingan kuasa. Setelah siasatan dijalankan, sama ada kes ini berjaya mendapat izin mendakwa di mahkamah bukan lagi di tangan SPRM, tetapi ia akan ditentukan oleh Pejabat Peguam Negara.
“Jangan hanya kerana mahu mempertahankan seseorang, sistem keadilan negara pula dijadikan sasaran manipulasi politik,” kata Shahbudin.
Jelas beliau, rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran melalui siasatan telus dan bebas serta proses kehakiman, bukan berdasarkan tafsiran politik murahan yang bersifat spekulasi serta tidak masuk akal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
