Tulis surat dengan tangan, terkejut menteri hantar sumbangan

Sarimah (kanan) menunjukkan surat yang ditulis kepada Mohd Na'im.
Sarimah (kanan) menunjukkan surat yang ditulis kepada Mohd Na'im.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] "Saya sangat terkejut apabila menteri 'menyambut' baik surat yang saya hantar dan segera beri sumbangan."

Demikian kata warga emas, Sarimah Mamat, 62, yang memohon sumbangan RM200 untuk melangsaikan bil elektrik rumahnya di Kampung Semut Api di sini.

Dia tidak menyangka Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar akan memberikan maklum balas walaupun surat permohonannya yang bertarikh 20 Januari hanya ditulis tangan.

Kata Sarimah, idea menulis surat itu selepas tidak mampu lagi memikirkan cara melangsaikan bil elektrik rumahnya yang berjumlah RM1,150.

Kongsi Sarimah lagi, masa yang diambil untuk menulis surat ialah tiga hari termasuk menyediakan salinan berita mengenai dirinya yang aktif dalam 42 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan di Kelantan iaitu sebagai ahli biasa hingga jawatan pengerusi.

Dr Hafidzah (kiri) menyampaikan sumbangan daripada Mohd Na'im kepada Sarimah.
Dr Hafidzah (kiri) menyampaikan sumbangan daripada Mohd Na'im kepada Sarimah.

"Sebelum ini saya tidak pernah mengenali Menteri Agama itu tetapi kerap melihatnya di televisyen dan wataknya seorang yang lemah-lembut.

"Selepas mengepos surat yang dikenakan setem RM1.70 itu, saya tidak pernah menghubungi pejabat kementerian berkenaan kerana memahami menteri sentiasa sibuk dengan urusan beliau tetapi berharap ALLAH SWT memakbulkan doa saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun wanita itu bersyukur kerana menerima sumbangan itu yang dapat dimanfaatkan untuk membayar bil elektrik rumahnya.

Sarimah pada Isnin menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustafa yang mewakili Mohd Na'im untuk menyampaikan sumbangan.

Menurut Sarimah, permohonan membabitkan dua muka surat itu ditulis tanpa pengetahuan empat anaknya yang berusia antara 28 hingga 40 tahun.

"Anak-anak memang memberi wang untuk perbelanjaan setiap bulan tetapi saya menggunakannya untuk membeli ubat atau perbelanjaan lain," katanya.

Wanita itu juga tidak lagi menyertai sebarang persatuan sejak 10 tahun lalu kerana memerlukan rehat selain menghidap penyakit kencing manis.

Sarimah yang menerima 10 anugerah ketika aktif dalam persatuan belia mengakui sekadar mencuba nasib kerana sebelum ini pernah membantu masyarakat melalui keringatnya tanpa lelah dan putus asa selama lebih 21 tahun.

Sarimah (kanan) menunjukkan keratan akhbar kepada Dr Hafidzah yang mewakili Mohd Na'im ketika kunjungan di kediaman warga emas itu.
Sarimah (kanan) menunjukkan keratan akhbar kepada Dr Hafidzah yang mewakili Mohd Na'im ketika kunjungan di kediaman warga emas itu.

"Dalam usia emas ini saya hanya mampu mengenang kembali ketika memegang 45 jawatan namun kini tidak lagi boleh membantu masyarakat kerana sudah uzur dan anak-anak juga tidak membenarkan saya aktif lagi.

"Terima kasih kerana menteri sangat prihatin terhadap saya yang terlibat dengan NGO," katanya.

Sarimah juga bertuah kerana ketika masih aktif, suaminya Allahyarham Bakari Daud serta anak-anak sentiasa memberi sokongan untuk beliau bergerak membantu masyarakat di seluruh negeri.

Sementara itu Dr Hafidzah memberitahu, pihaknya menerima makluman daripada kementerian pada Sabtu yang memintanya bertemu Sarimah.

"Kita terharu kerana beliau tidak menggunakan kedudukan dan pangkatnya untuk meminta sumbangan lebih daripada keperluannya kerana hanya memohon sebanyak RM200 sahaja bagi mengelakkan pemotongan bil elektriknya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!