Graduan UiTM tidak malu bergelar 'tok nyadat' nira

PASIR PUTEH - Seorang graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak pernah malu bergelar 'tok nyadat' nira atau tuak walaupun ada yang memandang sinis terhadap pekerjaan itu.
Mana tidaknya, kerja itu dilihat 'lekeh' malah tidak setaraf dengan kelulusan anak muda tersebut.
Bagaimanapun, Muhamad Badrul Amin Hassan, 27, dari Kampung Darang Buaya di sini, bangga apabila pekerjaan itu memberikan pendapatan lumayan apabila dia tidak menang tangan memenuhi permintaan terutama pada bulan Ramadan.

Bercerita lanjut, dia mendedahkan, kemahiran itu dipelajari daripada bapa saudara sejak berusia 16 tahun dan sebaik sahaja tamat belajar pada 2018, dia menjadikan tok nyadat sebagai pekerjaan utama.
"Saya 'berehat' seketika sebagai tok nyadat kerana mahu mencuba pekerjaan lain dengan makan gaji. Pada 2021, saya kembali memilih untuk menyadat tuak dan pekerjaan itu kekal sehingga hari ini.
"Saya sudah biasa dipandang rendah oleh sesetengah masyarakat namun ia tidak melemahkan semangat untuk meneruskan kerjaya ini. Bekerja sendiri pada masa yang sama menjadi usahawan, membuatkan saya seronok menjadi tok nyadat tuak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut anak kelima daripada tujuh beradik itu, rutin hariannya bermula seawal jam 8 pagi apabila dia akan ke kebun kelapa untuk memungut tuak yang mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam sahaja dan ia turut dilakukan pada sebelah petang.
Ujar graduan Diploma Pengurusan Ladang itu, tuak tersebut akan dikumpulkan dan dibotolkan sebelum dihantar kepada ejen-ejen sekitar Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Muhamad Badrul Amin memberitahu, untuk kawasan yang dekat dia sendiri akan menghantarnya manakala bagi jarak jauh menggunakan perkhidmatan penghantaran.
"Setiap hari sebanyak 100 botol yang mengandungi 500 milimeter nira dapat dihasilkan dan dijual pada harga RM5 hingga RM6 sebotol.
"Namun ia bergantung kepada keadaan cuaca. Sekarang Ramadan, permintaan terhadap nira sangat tinggi, sehingga saya tidak menang tangan, berbeza hari biasa," katanya.
Menurutnya, kerjaya itu nampak mudah tetapi mencabar kerana memerlukan kesabaran untuk mendapatkan hasil nira, serta risiko semasa memanjat pokok kelapa di mana perlu sentiasa berhati-hati.
Kata Muhamad Badrul Amin, permintaan nira tidak pernah putus kerana selain menjadi minuman, ia turut digunakan untuk membuat manisan atau gula melaka, manisan cair serta cuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

