Pempengaruh TikTok laksana misi bersihkan 30 surau dalam 30 hari

SHAH ALAM - Bermula dengan menghasilkan kandungan video berbentuk ulasan keadaan surau di pusat beli-belah, seorang pempengaruh media sosial kini tampil menginspirasikan orang ramai dengan melaksanakan misi membersihkan 30 surau dalam tempoh 30 hari sepanjang Ramadan ini.
Pempengaruh TikTok, Rusydi Sayuti Rosli, 39, berkata inisiatif membersihkan surau-surau terpilih yang dipanggil 'Misi 30 Hari, 30 Surau' itu bukan sekadar usaha menyemarakkan aktiviti kebersihan, malah pada masa sama turut menyemai kesedaran tentang kepentingan menjaga rumah ibadah.
“Dahulu saya hanya buat video ulasan dan ada juga membersihkan surau seorang diri, cuma tidak dirakam dan dimuat naik ke media sosial.
“Bagi Ramadan tahun ini, saya ubah pendekatan dengan mencabar diri membersihkan 30 surau sepanjang 30 hari berpuasa. Saya mahu orang lain turut bersemangat melakukan perkara sama di kawasan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Terdahulu, tular di TikTok sebuah video menunjukkan seorang lelaki membersihkan surau bagi memenuhi cabaran 30 hari, 30 surau sepanjang bulan mulia ini.

Bertindak menjalankan tugas pembersihan seorang diri, amalan mulia Rusydi itu mendapat pujian ramai, yang rata-ratanya berpendapat golongan muda seharusnya menjadikan media sosial sebagai medium untuk mengajak masyarakat melakukan kebaikan.
Menurut Rusydi, disebabkan komitmen kerja sebagai pengurus syarikat swasta pada hari biasa, dia hanya dapat memberi fokus kepada aktiviti pembersihan surau ketika hujung minggu.
“Minggu pertama Ramadan, saya banyak menumpukan kepada surau di sekitar rumah iaitu di Nilai dan Seremban.
“Alhamdulillah, hari ini (Sabtu), sudah enam surau dibersihkan dan ada antaranya dibantu oleh sukarelawan yang turut mahu terlibat dalam misi ini,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran sepanjang misi ini, Rusydi mengakui ia bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dalam keadaan berpuasa, namun setiap kali mendapat maklum balas positif daripada masyarakat, kepenatan itu hilang.
“Niat saya jelas, mahu memberi manfaat kepada orang lain. Bila mendapat maklum balas positif dan melihat orang lain terinspirasi untuk melakukan perkara yang sama, ia satu pencapaian yang membanggakan bagi saya.
“Untuk misi ini juga, saya masih bergerak seorang diri, tetapi jika ada yang mahu turut serta, saya sangat alu-alukan.
“Semoga inisiatif ini menjadi gerakan kecil yang memberi impak besar kepada masyarakat, terutama umat Islam,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

