UiTM pastikan keselamatan lebih 50 penuntut terjejas tanah runtuh

KOTA BHARU - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan mengambil langkah proaktif dengan memastikan lebih 50 penuntut kampus Machang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Taman Desa Mas terus ditempatkan di kolej transit bagi semester depan yang dijadualkan bermula selepas Aidilfitri.
Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr Mohd Afandi Mat Rani, berkata, langkah itu diambil bagi menjamin keselamatan serta kebajikan penuntut yang sebelum ini menyewa di kawasan luar kampus terbabit.
“Keselamatan pelajar menjadi keutamaan kami. Waktu ini mereka baru lepas peperiksaan dan bercuti serta akan kembali selepas raya.
“Penuntut yang terkesan akan ditempatkan di kolej kediaman bagi memastikan mereka berada dalam persekitaran yang selamat dan selesa untuk meneruskan pengajian,” katanya ketika ditemui pada Program Mahabbah Kasih Ramadan UiTM di Rumah Kelantan Tiang 12 di sini pada Ahad.

Pada November lalu, kejadian tanah runtuh di Taman Desa Mas, Machang menyebabkan lebih 50 pelajar UiTM Machang yang menyewa di kawasan itu terpaksa dipindahkan.
Susulan kejadian, pihak universiti mengambil tindakan segera dengan menempatkan mereka di kolej kediaman buat sementara waktu.
“Kami juga menasihatkan pelajar agar tidak kembali menyewa di kawasan berisiko sehingga pihak berkuasa mengesahkan ia selamat.
“Buat masa ini, kapasiti kolej masih mencukupi untuk menempatkan semua pelajar yang terjejas,” tambahnya.
Beliau berkata, UiTM Kelantan juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk membincangkan langkah jangka panjang dalam menangani isu penempatan pelajar bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
Sementara itu, Program Mahabbah Kasih Ramadan UiTM tersebut turut dihadiri oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan, Puan Sri Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang juga juga Pengasas Yayasan Noor Al Syakur (Yanas).
Program anjuran UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Yanas ini bertujuan membantu 50 asnaf, fakir miskin dan anak yatim sekitar bandar ini.
“Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan baik daripada penderma yang sudi berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” kata Profesor Dr Mohd Afandi.
Selain itu, UiTM Kelantan turut mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan, termasuk ceramah agama, tadarus al-Quran, dan Kapsul Ramadan sepanjang bulan mulia ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk pihak industri dan institusi kewangan seperti Bank Islam yang turut menyokong penganjuran program Ramadan tahun ini.
“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan bagi menyemai nilai kasih sayang dan kepedulian dalam kalangan warga universiti serta masyarakat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!