Pelbagai kaum turun padang kacau 15 kawah bubur lambuk

Pelbagai kaum turun padang membantu dalam program tersebut pada Ahad. Foto Sinar Harian (Gambar kecil: Yin Zhang Long, R Nagarajan, Fairul Alimi Ahmad )
Pelbagai kaum turun padang membantu dalam program tersebut pada Ahad. Foto Sinar Harian (Gambar kecil: Yin Zhang Long, R Nagarajan, Fairul Alimi Ahmad )
A
A
A

LIPIS - "Sepanjang hidup ini kali pertama berpeluang mengacau bubur lambuk, selama ini hanya tahu makan."

Demikian kata seorang pekebun, Yin Zhang Long, 37, antara 400 peserta yang turun padang menjayakan Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Pahang 2025 dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kampung Tanjung Gahai di sini pada Ahad.

Program tersebut anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama kerajaan negeri.

Ia membabitkan 27 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daerah Lipis dan 28 agensi dengan memasak sebanyak 15 kawah sekali gus sebanyak 5,250 bekas diagihkan kepada penduduk sekitar.

Menurutnya, penyertaan buat julung kali dalam program itu sangat dihargainya dan menyifatkan satu usaha yang perlu dialu-alukan untuk semua kaum di negara ini.

"Rasa seronok dan teruja kerana dapat bersama pelbagai kaum selain merasai sendiri kemeriahan sempena Ramadan," ujarnya yang juga Pengerusi KRT Jerkoh.

Bagi Pengerusi Kuil Padang Tengku, R Nagarajan, 68, dia sudah biasa menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan masyarakat Melayu sejak kecil hingga kini.

Pelbagai kaum turun padang membantu dalam program tersebut pada Ahad.
Foto Sinar Harian
Pelbagai kaum turun padang membantu dalam program tersebut pada Ahad. Foto Sinar Harian

Artikel Berkaitan:

"Pengalaman ketika bekerja dengan Jabatan Pertanian sebelum ini menyebabkan saya sudah biasa dengan aktiviti sebegini.

"Saya puji usaha JPNIN ini kerana menyediakan bubur lambuk vegetarian (sayuran) sesuai dengan kepelbagaian kaum yang ada," tambahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi KRT Taman Pertama, Fairul Alimi Ahmad, 38, menyifatkan penganjuran kali pertama di Lipis satu peluang yang tidak boleh dilepaskan kerana dapat bersama dan bekerjasama dengan pelbagai kaum.

Sementara itu, Wan Rosdy mengalu-alukan program tahunan tersebut dan berharap akan diteruskan selepas ini.

Beliau yang gembira dengan pemilihan Kampung Tanjung Gahai yang juga kampung halamannya menyifatkan pemilihan bubur lambuk tepat kerana digemari pelbagai kaum di negara ini.

"Paling menggembirakan saya kerana penglibatan pelbagai kaum dalam program ini.

"Ini menunjukkan kekuatan yang ada di negara dan negeri kita yang seharusnya kita pupuk supaya ia lebih mantap dan kental untuk masa-mata yang akan datang," tambahnya.

Lebih 42,300 bekas bubur lambuk diedarkan secara serentak di seluruh negeri Pahang menerusi program tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!