Mahsuri teruskan tradisi agih bubur lambuk

SHAH ALAM - Mahsuri Dagang Sdn Bhd (Mahsuri Dagang) menerusi kerjasama Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP) mengagihkan sebanyak 5,000 bubur lambuk kepada rakyat sekitar Kota Kemuning pada Ahad bagi memeriahkan sambutan bulan Ramadan tahun ini.
Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz, pengedaran sumbangan tersebut melibatkan masyarakat di tiga kawasan termasuk Kota Kemuning, Sungai Kandis dan Bukit Naga.
“Ini adalah tahun kedua Mahsuri Dagang mengekalkan kerjasama tradisi dengan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menganjurkan majlis pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai.
“Bantuan itu akan diberikan secara menyeluruh termasuk kepada rumah anak yatim dan persatuan ibu tunggal. PWIP turut bekerjasama dengan ahli jawatan kuasa (AJK) masjid bagi memastikan sumbangan berkenaan dapat disampaikan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Rewang Bubur Lambuk Perdana 2025 di Masjid Al-Bakri, Kampung Bukit Naga pada Ahad.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan.
Ujar Mohd Jazri, penganjuran majlis berkenaan bertujuan mengangkat makanan tradisi orang Melayu sekali gus memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, program tersebut juga dilihat mendapat sambutan menggalakkan dari orang ramai sejak bermula jam 8.30 pagi lagi.
“Kita berharap program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dapat memupuk semangat perpaduan antara masyarakat dan dapat membantu lebih lagi dalam penganjuran majlis komuniti seperti ini.
“Tahun lepas kita telah melaksanakan tiga program bubur lambuk, alhamdulillah tahun ini kita akan buat enam program sama. Insya-ALLAH, pada masa akan datang kita boleh tambah lagi program bersama dengan masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden PWIP, Mashita Abdul Rahim berkata, ia merupakan penganjuran kali pertama program bubur lambuk perdana dapat diadakan dengan penglibatan bersama lima NGO dan pihak masjid.

Kata Mashita, pihaknya turut memberikan sumbangan kewangan dan bakul Ramadan kepada 60 orang ibu tunggal serta 60 anak yatim sempena sambutan majlis berkenaan.
“Walaupun perancangan program ini dilakukan dalam jangka masa singkat, tetapi semua berjalan dengan lancar dan orang ramai termasuk pihak masjid sangat membantu kami dari awal.
“Alhamdulillah pada bulan Ramadan ini kita dapat memberi banyak manfaat kepada masyarakat komuniti sekitar kawasan ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!