Jakoa segerakan pembinaan baharu jambatan gantung Sungai Balar

GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan menyegerakan pembinaan jambatan gantung baharu di Sungai Balar di sini susulan struktur lama yang terputus dan menjejaskan kira-kira 400 penduduk Orang Asli di kawasan itu.
Dalam kenyataannya, Jakoa menegaskan bahawa pihaknya sentiasa peka terhadap isu yang membabitkan masyarakat Orang Asli dan komited mencari penyelesaian terbaik demi kesejahteraan mereka.
Menurut kenyataan itu, jambatan tersebut memang sudah termasuk dalam perancangan kerja baik pulih bagi tahun ini.
“Bagaimanapun, akibat insiden kerosakan yang berlaku, pembinaan jambatan baharu akan dipercepatkan bagi memastikan penduduk dapat terus menggunakan laluan itu dengan selamat,” kata kenyataan itu.
Jambatan gantung di Sungai Balar merupakan laluan penting bagi penduduk setempat, khususnya pejalan kaki dan pengguna motosikal.
Sebelum ini, media melaporkan, kerosakan yang berlaku menimbulkan kesulitan dalam urusan harian penduduk, termasuk keperluan untuk mendapatkan bekalan makanan, perubatan dan akses ke sekolah bagi anak-anak mereka.
Jakoa memberi jaminan bahawa tindakan segera pembinaan jambatan baharu bagi memenuhi keperluan masyarakat Orang Asli itu juga adalah usaha pihaknya dalam memastikan kebajikan penduduk sentiasa terpelihara.
Jambatan gantung berstruktur besi terbabit terputus akibat paras sungai meningkat dan arus deras kerana hujan lebat sejak petang, Sabtu.
Keadaan menyebabkan penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Barung, Kampung Ipes dan Kampung Tidag, terputus hubungan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

