Kawan-kawan pengubat rindu keluarga

IPOH - Tempoh enam bulan tinggal rumah anak yatim menjadi pengalaman baharu buat seorang remaja yang menjadi yatim piatu sejak berusia 11 tahun.
Muhammad Zaqeef Mukhriz Abdullah, 15, berkata, suasana baharu itu tidak menjadikannya kekok untuk bersama-sama penghuni lain di Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh.
Menurutnya, rindu terhadap keluarga sedikit terubat apabila layanan diterima di rumah anak yatim tersebut begitu menyenangkan.
"Mak meninggal ketika saya Tahun Lima sebab sakit tonsil, ayah pula lebih dahulu meninggalkan kami ketika saya berusia dua tahun kerana demam panas.
"Saya dan abang tinggal di sini, adik perempuan pula pak cik yang jaga. Walaupun tinggal di rumah anak yatim, kami tetap gembira sebab ada orang ambil berat pasal kami," katanya ketika ditemui pemberita sempena Program Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Prihatin di Pasar Raya Econsave Klebang di sini baru-baru ini.

Muhammad Zaqeef berkata, rutin harian di kediaman baharu itu juga berubah apabila aktiviti harian diisi dengan solat berjemaah, membaca al-Quran selain riadah bersama rakan-rakan di rumah kebajikan tersebut.
Memilih baju Melayu berwarna biru pada tahun ini, dia bersama adik-beradik akan berkumpul di rumah neneknya di Lahat, di sini pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBI, Mohd Syahrizal Azmi berkata, program tersebut telah dilaksanakan sejak lebih 10 tahun bagi memberi kegembiraan kepada anak yatim dan mereka yang memerlukan menjelang Aidilfitri.
Menurutnya, seramai 39 orang anak yatim daripada dua buah institusi iaitu dari Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh dan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Kasih Kinta.
Jelasnya, anak-anak terpilih itu memilih pakaian Hari Raya Aidilfitri di Pasar raya Econsave dan berbuka puasa di Hotel M Roof serta menerima duit raya daripada MBI yang disampaikan sendiri oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

