10 juadah tradisional iftar di seluruh dunia

Ramadan merupakan bulan paling istimewa buat Muslim. Selain memperbanyakkan ibadah, bulan suci ini juga memberi peluang kepada komuniti Islam untuk menyajikan pelbagai hidangan tradisional yang jarang ditemui pada bulan lain.
Setiap negara mempunyai menu menarik tersendiri dan berikut adalah 10 juadah berbuka puasa yang menjadi tradisi komuniti Muslim di seluruh dunia.
-------------
1. Harira (Maghribi)
Sup campuran tomato, lentil, kacang kuda dan daging lembu atau kambing bersama bumbu seperti kunyit, halia dan kayu manis. Ia kaya dengan protein dan nutrien yang menjadikannya hidangan sempurna untuk menambah tenaga selepas seharian berpuasa. Ia dihidangkan bersama chebakia iaitu pastri manis bersalut bijan.
2. Haleem (Asia Selatan dan Asia Barat)

Stu berkrim yang dihasilkan daripada gandum, lentil dan isi daging yang direneh selama beberapa jam sebelum menjadi pekat. Ia turut dicampurkan dengan bumbu seperti kayu manis, buah pelaga dan lada hitam. Menu ini kaya dengan protein dan karbohidrat yang mengenyangkan.
3. Kunafa (Asia Barat)

Hidangan pencuci mulut yang rangup di luar dan lembut pada bahagian dalam ini terkenal di Asia Barat. Ia dihasilkan daripada doh filo atau doh semolina yang dilapisi dengan keju atau krim dan dicelup dengan sirap gula. Ia turut dihidangkan bersama kekacang seperti pistasio atau badam yang dimakan bersama teh atau kopi Arab.
4. Ramazan Pidesi (Turkiye)

Roti tradisional ditabur bijan dan jintan hitam ini turut menjadi menu pilihan ketika bersahur. Ia dihasilkan daripada campuran gandum dan yis yang berbentuk bulat serta mempunyai kerak bercorak seperti seni anyaman.
5. Qatayef (Asia Barat)

Pencuci mulut yang terkenal dalam kalangan komuniti Arab ini seperti penkek yang berinti kekacang, krim atau keju yang kemudiannya digoreng hingga kuning keemasan sebelum dicelup dengan sirap gula yang dicampurkan dengan air bunga mawar.
6. Nisalda (Uzbekistan)

Ia merupakan juadah popular di seluruh Uzbekistan. Pencuci mulut ini dihasilkan daripada akar tumbuhan asli yang dikeringkan dan direbus. Ia kemudiannya dicampur dengan putih telur bersama sirap gula untuk menghasilkan tekstur pekat yang memudahkan sistem penghadaman.
7. Chorba Frik (Algeria dan Tunisia)

Sup tradisional ini dihasilkan daripada campuran daging, kacang kuda, sayur-sayuran dan frik atau freekeh (gandum hijau yang memberikan rasa smoky). Menu berkhasiat ini juga sering dihidangkan ketika musim sejuk dan dimakan bersama roti.
8. Samosa (Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Selatan)

Pastri berbentuk segi tiga antara menu wajib untuk berbuka puasa di kebanyakan negara. Ia mengandungi inti daging atau ayam yang dicampur bersama keju dan sayur-sayuran.
9. Kolak (Asia Tenggara)

Bubur manis ini diperbuat daripada pisang, ubi keledek bersama campuran santan dan gula aren. Kolak dihidangkan secara panas atau sejuk dan menjadi kegemaran Muslim di Indonesia dan Malaysia. Ia membekalkan gula semula jadi dan tenaga serta hidangan yang menyegarkan untuk berbuka puasa.
10. Fattoush (Syria dan Lubnan)

Hidangan sihat dihasilkan daripada salad segar dan potongan sayur-sayuran seperti timun, tomato, lobak bersama kepingan roti pita panggang yang rangup. Ia diperasakan dengan minyak zaitun, jus lemon dan bawang putih. Ia merupakan juadah sampingan yang dapat menghidratkan tubuh selepas berbuka puasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

