'Sahur paling bermakna buat kami sekeluarga'

Amizar (dua dari kiri) dan isterinya, Norhida (kiri) bersahur bersama keluarga Alias (dua dari kanan).
Amizar (dua dari kiri) dan isterinya, Norhida (kiri) bersahur bersama keluarga Alias (dua dari kanan).
A
A
A

BENTONG - "Sahur kali ini sangat istimewa kerana rumah saya terpilih untuk bersahur bersama YB (Yang Berhormat)," kata Alias Husin, 55, di Lembah Jaya di sini yang merupakan antara 30 penerima sempena program Moh Sahur Pelangai pada Sabtu.

Dalam program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam bersama isterinya, Datin Norhida Kasim mengunjungi rumah sekitar Chemomoi dan Lembah Jaya untuk menyerahkan mangkuk tingkat berisi makanan sahur, bakul makanan dan wang tunai kepada penduduk terlibat.

Menurut Alias, kunjungan ADUN Pelangai bersama rombongan itu amat dihargai dan gembira kerana berpeluang bersahur bersama.

"Kami sekeluarga juga menyediakan masakan istimewa, asam pedas ikan merah untuk sahur kali ini.

"Program dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat. Kami berharap ia dapat diteruskan setiap tahun," katanya.

Selain Alias, rumah Norhidayu Jaafar, 37, turut menerima kunjungan Amizar.

"Kami sekeluarga merasa sangat bertuah dan bukan mudah mendapat peluang dalam program sebegini," kata ibu kepada empat anak ini.

Sementara itu, Amizar yang juga Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang berkata, program tersebut julung kali diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan inisiatif menyantuni penduduk setempat menjelang waktu sahur.

Menurutnya, sebanyak 12 kampung dipilih membabitkan 30 rumah terlibat sempena program itu.

Artikel Berkaitan:

"Kali ini di Pelangai, kita kumpul semua kepimpinan dari kawasan ini untuk mengimarahkan Ramadan dan salah satunya mendapatkan pahala menerusi sahur," katanya.

Tambah beliau, program yang mendapat kerjasama Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (Teratai) itu turut mendapat sentuhan air tangan istimewa isterinya yang menyediakan sendiri menu ikan bilis goreng berlada petai campur kentang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!