Edar dadah: Lelaki Malaysia dihukum mati di Singapura

Rayuan Lingkesvaran ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Mac 2019 - Gambar hiasan
Rayuan Lingkesvaran ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Mac 2019 - Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Rakyat Malaysia Lingkesvaran Rajendaren yang disabitkan kesalahan mengedar dadah pada 2018 menjalani hukuman mati di Singapura pada Rabu dan ia disahkan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) republik itu.

"Hukuman mati ke atas Lingkesvaran Rajendaren telah dilaksanakan pada 11 Februari lepas. Lingkesvaran diberikan proses perundangan yang sewajarnya dan diwakili peguam semasa perbicaraan serta rayuannya,” menurut CNB dalam satu kenyataan pada Khamis.

Lingkesvaran, 33, disabitkan kesalahan mengedar tidak kurang daripada 52.77 gram diamorphine dan dijatuhi hukuman mati pada 15 Oktober 2018.

Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Mac 2019.

"Susulan penolakan rayuannya, Lingkesvaran terlibat dalam lapan permohonan selepas rayuan. Semua permohonan itu telah ditolak atau diselesaikan,” menurut CNB.

Petisyen Lingkesvaran kepada Presiden bagi mendapatkan pengampunan juga tidak berjaya.

CNB turut memaklumkan bahawa pada 9 Februari lepas, peguam Lingkesvaran memfailkan saman sivil yang mendakwa berlaku salah laku, kecuaian dan/atau keingkaran oleh pegawai awam dalam Perkhidmatan Penjara Singapura.

Menurut CNB, peguamnya turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu saman sivil itu, namun permohonan berkenaan ditolak Mahkamah Rayuan. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Ringkasan AI

  • Rakyat Malaysia Lingkesvaran Rajendaren disabitkan kesalahan mengedar dadah dan menjalani hukuman mati di Singapura
  • Lingkesvaran diberikan proses perundangan yang sewajarnya termasuk diwakili peguam semasa perbicaraan dan rayuannya
  • Dia disabitkan kesalahan mengedar tidak kurang daripada 52.77 gram diamorphine pada 15 Okt 2018
  • Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Mac 2019 dan semua lapan permohonan selepas itu juga ditolak
  • Petisyennya kepada Presiden bagi mendapatkan pengampunan tidak berjaya dan saman sivil yang difailkan peguamnya juga ditolak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!