Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 semarak Ramadan, erat perpaduan

SUBANG JAYA - Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 bukan sekadar menggalakkan penganjuran majlis berbuka puasa, bahkan menjadi platform perpaduan bagi masyarakat berbilang kaum memahami erti sebenar Ramadan.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, program itu memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan Ramadan melalui syarahan agama, sekali gus memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
"Kadangkala kita terlalu sibuk mencari rezeki hingga terlupa untuk meningkatkan amal. Saya amat gembira dapat menganjurkan program seperti ini kerana ia dapat mengeratkan hubungan antara kaum selain memperkukuh pemahaman tentang Ramadan.

"Kita melihat pelanggan Mydin yang berbilang bangsa seperti Cina dan India turut serta mendengar syarahan agama dan memahami makna berpuasa.
"Ini adalah salah satu cara membina masyarakat lebih bertoleransi dan saling memahami,” katanya selepas melancarkan program berkenaan di Mydin Mall USJ pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Sebanyak 27 jenama terlibat dalam menjayakan program tersebut dengan jumlah penyertaan seramai 1,020 peserta.
Selepas majlis pelancaran di sini, jelajah itu akan diteruskan ke lapan lagi cawangan Mydin seluruh negara termasuk Mutiara Rini, Johor Bahru; Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka; Seremban 2, Negeri Sembilan; Meru, Selangor; Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Petra Jaya, Sarawak; Tunjong, Kelantan dan Jengka, Pahang.
Mengulas mengenai cabaran penganjuran program berkenaan, Ameer berkata, pihaknya tidak berdepan kesukaran kerana ramai ingin menjadi penaja untuk menyumbang infak serta meraih keberkatan Ramadan.
"Kebiasaannya, tidak mudah mendapatkan penaja untuk sesuatu program. Justeru, saya tidak menyangka ramai pihak berebut-rebut mahu menyumbang dan menunjukkan semangat mereka dalam melakukan kebajikan.
“Ini mencerminkan semangat memberi yang semakin kuat dalam kalangan rakyat Malaysia terutama pada bulan Ramadan,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar lebih banyak syarikat korporat tampil menjayakan program kebajikan seperti itu pada masa akan datang.
"Kami tidak mengharapkan apa-apa balasan, cuma doa daripada rakyat Malaysia agar negara kita sentiasa aman dan sejahtera. Semoga lebih ramai pihak mengambil inisiatif seperti ini bagi memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran 100PLUS, Tan Min Yen berbesar hati menjadi salah satu penaja program tersebut bagi memastikan setiap individu mendapat manfaat daripada minuman isotonik tersebut.
"Iftar bukan sekadar waktu untuk berbuka tetapi detik bermakna bagi keluarga dan rakan-rakan berkumpul serta berkongsi rezeki.
"Sebagai tanda sokongan, kami telah menyumbangkan 1,000 tin 100PLUS bagi memastikan semua yang berbuka di sini mendapat manfaat daripada minuman isotonik nombor satu di Malaysia,” jelasnya.

Selain 100PLUS, Pengarah Urusan Indra Valley, Jessica Supayah turut bekerjasama dengan Mydin dalam menyumbang kepada masyarakat sepanjang Ramadan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan.
"Impian sebenar Indra Valley adalah membawa makanan berkualiti kepada setiap rakyat Malaysia dan seterusnya ke seluruh dunia.
“Tahun ini, kami bukan sahaja mengedarkan bubur lambuk malah menaja 1,000 pek nasi beriani yang akan diagihkan di lima lokasi Mydin seluruh negara,” ujarnya.

Salah seorang pengunjung, Azilah Abd Majid, 50, hadir bersama rakannya dari Banting semata-mata untuk menyertai program itu dan merasai pengalaman berbuka puasa bersama orang ramai.
"Saya datang khas untuk bersama Sinar Harian kerana program ini sangat menarik. Saya berasa amat seronok dapat berkumpul dan berbuka puasa beramai-ramai.
“Selain menikmati juadah, kita juga dapat mengeratkan silaturahim dengan peserta lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
