Dewan Rakyat lulus RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 sokongan majoriti

Suasana di dalam Dewan Rakyat ketika sesi undian bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama
Suasana di dalam Dewan Rakyat ketika sesi undian bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 bagi membolehkan kerajaan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen diluluskan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pindaan RUU tersebut diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen pada bacaan kedua dan ketiga, selepas undi belah bahagi dilakukan.

Seramai 148 wakil rakyat bersetuju untuk meluluskan RUU ini, manakala 57 memilih untuk tidak mengundi dan 17 tidak hadir.

Sebelum itu, seramai 18 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang membahaskan RUU berkenaan.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 56 dan Perkara 57 dengan memasukkan Fasal baharu (5A).

Fasal tersebut menyatakan seseorang yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat atau Timbalan Yang Dipertua tidak hilang kelayakan memegang jawatan oleh sebab keahliannya dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan, dengan syarat ahli yang dipilih berkenaan tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

RUU berkenaan juga bertujuan meminda Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan peruntukan bagi pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong yang boleh dilantik dalam kalangan atau bukan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan.

Dengan kelulusan tersebut, maka RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang kini di peringkat bacaan kali pertama, boleh diteruskan untuk bacaan kali kedua seterusnya dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bagi bacaan kali kedua berkata, kerajaan bersetuju untuk melantik dua ahli Dewan Negara dan empat ahli Parlimen termasuk dua wakil daripada pembangkang ke dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen bagi menambah baik keanggotaannya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia akan dibuat Jawatankuasa Pemilih pada Rabu, setelah RUU tersebut diluluskan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!