Polis tembak mati warga emas miliki 14 rekod jenayah, dadah

JOHOR BAHRU - Polis menembak mati seorang warga emas yang mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah dalam kejadian berbalas tembakan di Taman Molek di sini, pada awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 3.10 pagi.
Menurutnya, kejadian berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sedang menjalankan rondaan dengan menggunakan dua buah kenderaan polis.
“Unit peronda mengesan sebuah motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang seorang lelaki di kawasan Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek dalam keadaan mencurigakan. Pihak polis mengekori dan berjaya menahan motosikal tersebut di kawasan berhampiran.
“Semasa pihak polis hendak turun bagi membuat pemeriksaan, tiba-tiba penunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan serbuan menyebabkan pihak polis berbalas tembakan untuk mempertahankan diri sehingga keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan polis mendapati suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 63 tahun telah terkena tembakan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson di atas jalan berhampiran suspek bersama empat butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru.
"Hasil semakan rekod mendapati suspek memiliki 14 rekod jenayah dan dadah, termasuk satu kes di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, satu kes bawah Akta Senjata 1960, serta satu rekod masih dalam senarai dikehendaki polis.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan ketika melakukan kesalahan berjadual," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah boleh menyalurkannya ke talian hotline 019-2792095 atau Bilik Gerakan IPK Johor di 07-2212999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
