Dua lelaki termasuk warga emas didakwa edar 275kg dadah

Mohamed Ismail (dua dari kiri) dan Muhammad Amir Ikram (tiga dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong pada Rabu. Foto Bernama
Mohamed Ismail (dua dari kiri) dan Muhammad Amir Ikram (tiga dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Dua lelaki termasuk seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mengedar 275.19 kilogram dadah.

Mohamed Ismail, 68, dan Muhammad Amir Ikram Mohd Dzulkiflee, 32, didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine di tepi jalan Kampung Sungai Mun, Lipis pada jam 12.30 tengah hari, 6 Februari lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan sekiranya tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua lelaki itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar kerana kes hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid manakala peguam Hafizatul Shahirah Jamari mewakili Muhammad Amir Ikram.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 merupakan kesalahan tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 Mei untuk serahan dokumen dan laporan kimia.

Pada 10 Februari lepas, media melaporkan polis berjaya merampas dadah bernilai lebih RM8 juta serta menahan dua lelaki disyaki mengedar bahan terlarang itu susulan kejadian langgar lari di Kampung Pagar Sasak, Lipis. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!