Sindiket penipuan permainan video tumpas, lima warga China dicekup

ISKANDAR PUTERI - Kegiatan lima lelaki warga China menjalankan sindiket penipuan permainan video dalam talian terbongkar selepas polis menyerbu sebuah apartmen di Tanjung Kupang, Gelang Patah, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 4.30 petang, Khamis lalu, membawa kepada penahanan kesemua suspek berusia antara 24 hingga 36 tahun.
“Hasil siasatan mendapati mereka mengendalikan pusat panggilan bagi sindiket permainan video dengan mempromosikan perkhidmatan melalui laman web dan aplikasi Telegram.
“Mereka menipu pemain dengan tidak memberikan ‘mata’ permainan yang dibeli, selain mengambil keuntungan melalui komisen 20 peratus bagi setiap tambah nilai,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, pada Selasa.
Menurut Kumarasan, modus operandi sindiket yang aktif sejak Disember tahun lalu itu adalah dengan meminta pelanggan mendaftar melalui Telegram dan membuat pembayaran dalam bentuk mata wang kripto.
“Bayaran bergantung kepada jenis permainan yang ditawarkan, dan transaksi dilakukan melalui laman web,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas lima komputer riba, sembilan telefon bimbit, satu router WiFi dan satu kad akses yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM20,000.

Ujarnya, siasatan mendapati kesemua suspek memasuki Malaysia pada Disember tahun lalu sebelum pulang ke negara asal sempena Tahun Baharu Cina.
“Bagaimanapun, mereka kembali ke Malaysia pada 11 Februari lalu menggunakan visa dan memiliki pasport yang masih sah.
“Setiap suspek menerima gaji antara RM6,000 hingga RM7,000, yang dibayar oleh majikan mereka di China melalui akaun bank dalam mata wang negara itu,” jelasnya.
Kumarasan berkata, pihaknya masih menyiasat kemungkinan wujudnya pusat panggilan lain yang berkaitan dengan sindiket ini.
“Kami menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki aktiviti mencurigakan, terutama di kawasan berpagar dan berpengawal.
"Semua suspek kini ditahan reman sehingga Khamis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

