X

Kindly register in order to view this article
!

Negara antarabangsa belum bersedia hadapi Covid-19

Kakitangan perubatan merawat pesakit dijangkiti Covid-19 di sebuah hospital di Wuhan. - Foto AFP
A
A

GENEVA - Dunia masih belum bersedia untuk mengekang wabak koronavirus (Covid-19) yang kini telah menular hampir ke seluruh benua.

Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Misi Pakar Bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan China, Bruce Aylward yang turut menggesa semua negara supaya bersiap sedia menghadapi ancaman wabak virus tersebut.

“Kita semua perlu bersiap siaga untuk menghadapi krisis ini pada skala lebih besar. Ia perlu dilakukan dengan segera,” katanya pada sidang media di Geneva.

Aylward turut menyuarakan kebimbangan terhadap negara lain yang tidak melakukan persediaan secara menyeluruh untuk bertindak balas.

“Berapa banyak negara yang menyediakan katil hospital mencukupi, ventilator dan keupayaan makmal untuk menangani isu ini? Mereka perlu merancang lebih awal.

“Ia adalah penyakit yang serius,” tegasnya yang turut merujuk kepada negara miskin yang mempunyai sistem jagaan kesihatan yang lemah dan paling berisiko.

Terdahulu, WHO mengumumkan epidemik itu telah memuncak di China yang meragut lebih 2,600 nyawa dan lebih 77,000 dijangkiti. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus