MRCA, DOSM bakal kerjasama dalam kajian khusus runcit

SHAH ALAM - Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan bekerjasama dalam melaksanakan kajian yang direka khusus untuk memberi tumpuan pada aspek utama industri runcit.
Timbalan Presiden Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), Datuk Liew Bin berkata, ia meliputi peruncitan fizikal, perkhidmatan makanan dan minuman, e-dagang, digitalisasi runcit serta pengembangan dan pembangunan francais di Malaysia.
Menurutnya, dengan memanfaatkan rangkaian lebih daripada 500 ahli MRCA, kajian itu bertujuan untuk menyediakan pandangan terperinci dan bersegmen tentang dinamik industri runcit.
“Matlamatnya adalah untuk memperkukuhkan perniagaan dengan data yang tepat dalam membuat keputusan lebih strategik dan perancangan pertumbuhan lebih teratur.
“Akses kepada data dan masa yang tepat adalah penting untuk membawa perubahan pasaran dengan berkesan. Kolaborasi bersama DOSM ini menandakan satu tonggak dalam mempersiapkan industri dengan wawasan yang tepat untuk pertumbuhan lestari.
“Apabila ada statistik yang terperinci, kita dapat memahami tingkah laku pengguna dengan lebih baik, mengoptimumkan rantaian bekalan dan mencipta kerangka yang secara langsung memberi manfaat kepada peniaga dan pemilik francais,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau sebelum itu mengetuai delegasi MRCA mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di pejabat DOSM, Putrajaya.
Sementara itu, Mohd Uzir turut menjelaskan tentang kepentingan meningkatkan Sistem Statistik Negara kerana data yang boleh dipercayai dan spesifik adalah asas kemajuan ekonomi negara.
“Kolaborasi bersama MRCA ini bertujuan untuk mencipta kerangka statistik yang lebih terperinci dan mendalami potensi dalam bidang ini serta memanfaatkan pemain industri bagi sektor runcit.
“Ia akan membantu dalam merangka dasar yang bukan sahaja meningkatkan kelestarian perniagaan tempatan malah menempatkan Malaysia sebagai hab yang kompetitif untuk pengembangan francais,” jelasnya.
Salah satu manfaat yang dijangkakan daripada kolaborasi itu adalah memberi tarikan kepada pemain industri terhadap acara industri utama seperti Pameran Francais Malaysia (FEM).
Acara tahunan itu berfungsi sebagai platform rangkaian dan perkongsian pengetahuan yang penting, menarik para pemimpin francais, pelabur dan pembuat dasar.
Pada tahun ini, ia akan diadakan pada 21 hingga 23 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

