Sekuriti makanan negara kekal kukuh, mampan

Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti industri tetapi juga memastikan kesejahteraan komuniti setempat dengan mengurangkan impak negatif daripada sistem penternakan terbuka tradisional.
Kerjasama awam-swasta dalam sektor agromakanan ini selaras dengan data Laporan World Competitiveness Ranking (WCR) 2024 serta Dasar Agro-Makanan Negara 2030 (DAN 2.0) yang menekankan kepentingan transformasi digital, inovasi teknologi serta kecekapan persekitaran perniagaan sebagai pemacu daya saing negara.
Malaysia perlu bergerak ke arah sistem yang lebih bersepadu dan cekap bagi mengukuhkan daya tahan industri makanan dalam jangka panjang.
Transformasi industri melalui teknologi dan inovasi Sistem ternakan ayam tertutup menawarkan persekitaran terkawal yang mengurangkan risiko penyakit, meningkatkan tahap kebersihan, serta memastikan pengeluaran ayam yang lebih stabil dan berkualiti.
Teknologi ini juga mempercepatkan penggunaan data pintar serta automasi menjadikan industri lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Champion Nexus Produktiviti AgroMakanan, Datuk Ar Ezumi Harzani Ismail berkata, sistem ternakan ayam tertutup berasaskan teknologi digital dapat meningkatkan produktiviti dengan menawarkan persekitaran terkawal yang didukung oleh sensor pintar dan automasi.
“Teknologi pada masa kini membantu mengurangkan risiko penyakit, meningkatkan kebersihan serta memastikan pengeluaran ayam yang lebih stabil dan berkualiti,” katanya menerusi satu kenyataan.
Penggunaan analitik data semasa dan Internet Pelbagai Benda (IoT) juga membolehkan kawalan pemakanan dan pemantauan persekitaran secara berterusan bagi mengoptimumkan sumber makanan ternakan, tenaga elektrik, air dan tenaga kerja yang dapat mengurangkan kos operasi.

Ia menjadikan industri lebih cekap, produktif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa, tambahnya lagi.
Menurut data WCR 2024, kecekapan perniagaan Malaysia masih memerlukan penambahbaikan bagi menandingi negara-negara lain di rantau ini.
“Ini termasuklah sektor agromakanan di mana penggunaan teknologi moden dan peningkatan keupayaan tenaga kerja perlu diutamakan,” kata Ezumi.
Oleh itu, usaha mempercepatkan peralihan kepada sistem ternakan moden ini merupakan langkah tepat dalam mengatasi cabaran struktur industri.
Dalam skop setempat, projek perintis yang telah dijalankan di daerah Manjung memberi gambaran jelas tentang cabaran dan penyelesaian yang boleh dijadikan model untuk daerah lain.
Isu pencemaran bau, peningkatan populasi lalat, serta ketidakstabilan bekalan ayam akibat sistem reban terbuka telah mendorong kerjasama awam-swasta ini untuk membantu mempercepatkan prosedur kelulusan peralihan kepada sistem tertutup.
Langkah ini membantu penternak kecil dan sederhana beradaptasi dengan perubahan teknologi tanpa beban birokrasi yang rumit.
Pemangkin pertumbuhan
Menurut Ezumi, penyertaan sektor swasta dalam peralihan daripada kaedah lama ke kaedah moden penting dengan penglibatan aktiviti berkaitan seperti teknologi pertanian, perbankan dan kejuruteraan dalam menyediakan sokongan kewangan.
Selain itu, aktiviti lain ialah latihan teknikal serta pembangunan infrastruktur pintar bagi memastikan kejayaan jangka panjang.
Beberapa syarikat teknologi pertanian telah mula menawarkan pendekatan kecerdasan buatan (AI) dan IoT untuk meningkatkan kecekapan aktiviti penternakan ayam.
Dengan pendekatan ini, penternak mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual serta mengoptimumkan kadar pertumbuhan ternakan secara lebih sistematik.
Selain itu, inisiatif ini membuka peluang pelaburan baru dalam sektor teknologi makanan dan agroteknologi.
Data WCR 2024 menunjukkan bahawa peningkatan daya saing negara bergantung kepada keupayaan industri untuk memanfaatkan automasi dan analitik data dalam operasi harian.
Oleh itu, pelaburan dalam teknologi ladang moden bukan sahaja mengukuhkan sekuriti makanan negara tetapi juga membantu Malaysia mengekalkan kedudukan lebih baik dalam lanskap ekonomi global.
Polisi progresif dan insentif strategik
Bagi memastikan kejayaan jangka panjang, sokongan polisi yang lebih progresif amat diperlukan.
Antaranya, insentif cukai harus diberikan kepada penternak yang beralih kepada sistem moden bagi menggalakkan penggunaan teknologi terkini dalam sektor penternakan.
Selain itu, pembiayaan khas perlu disediakan melalui kerjasama antara bank dan agensi pembangunan pertanian untuk memudahkan akses kepada modal.
Dalam masa yang sama, latihan kemahiran dan pensijilan teknologi agro harus diperluaskan bagi meningkatkan kapasiti tenaga kerja serta memastikan kelestarian aktiviti-aktiviti pertanian.
Kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan juga memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pembangunan teknologi yang lebih mesra alam dan kos efektif.
Dengan langkah ini, aktiviti ternakan Malaysia berupaya untuk meningkatkan daya saingnya dan menyaingi pemain global dalam sektor ini.
Model daerah Manjung sebagai rujukan nasional
Inisiatif di daerah Manjung haruslah dijadikan model rujukan bagi negeri- negeri lain dalam mempercepatkan transformasi aktiviti penternakan ayam di Malaysia.
Melalui pendekatan perkongsian awam-swasta, sektor ini dapat berkembang secara inklusif dan lestari, menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi negara berproduktiviti tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Dengan pendekatan yang strategik dan ekosistem sokongan yang menyeluruh, Malaysia kini berada pada landasan tepat untuk mentransformasikan industri agromakanan, menjadikannya lebih moden, berdaya tahan dan mampan bagi memenuhi permintaan pasaran global serta kepentingan pengguna tempatan.
Bagi memastikan transformasi industri agromakanan, pada tahun 2025 ini, MPC melalui AFPN akan melaksanakan beberapa program di peringkat sektoral dan enterpris.
Antara program yang akan dilaksanakan adalah Program Peningkatan Produktiviti Melalui Pengurusan Kualiti Untuk Industri Ayam yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti melalui pengurusan ladang berkualiti sepanjang tempoh kitaran penternakan ayam.
Program ini dijangka akan bermula pada Mac 2025 dengan penglibatan dua puluh ladang ternakan di seluruh negara.
Dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, aktiviti penternakan ayam di Malaysia berpotensi mencapai tahap yang lebih maju, menjadikan transformasi ini sebagai pemacu peningkatan produktiviti dan kemajuan berterusan.
Masa depan sektor ini bergantung pada usaha kolektif kita untuk memastikan pertumbuhan yang lebih efisien, berdaya saing dan mampan.
Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai ladang tertutup serta penternakan moden dan pintar bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti ladang boleh hubungi sekretariat Nexus Produktiviti Agro-Makanan di afpn@mpc.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

