KPN guna pendekatan reformatif, serah tindakan 3R kepada agensi penguatkuasaan

Datuk Aaron Ago Dagang. Foto Bernama
Datuk Aaron Ago Dagang. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) pada Jumaat menekankan usaha perpaduan melalui pendekatan reformatif dan intervensi yang strategik bagi memperkukuh keharmonian masyarakat terutama dalam menangani isu sensitiviti agama, institusi raja serta kaum (3R) di negara ini.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan, perkara tersebut adalah kerana sejak kebelakangan ini beliau sering ditanya mengapa pihaknya tidak mengambil tindakan terhadap individu yang menyentuh isu sensitif itu.

Jelasnya, kuasa penguatkuasaan bukan di bawah kementeriannya sebaliknya di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Inilah soalan yang paling banyak saya terima sejak beberapa hari ini.

"Oleh itu, kementerian dan agensi itulah yang bertanggungjawab dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mencetuskan isu 3R.

“Jadi, saya berharap agar tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan lagi oleh agensi berkenaan,” katanya menerusi hantaran di X.

Sebelum ini, beliau menggesa semua pihak mengelak dan berhenti serta-merta daripada mengapi-apikan atau menyebarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Katanya, PDRM dan SKMM perlu segera mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang terlibat dalam penyebaran berbentuk provokasi di media sosial.

Dalam pada itu, menurut beliau, antara langkah yang dilaksanakan pihaknya dalam menangani isu 3R adalah dengan pemantauan melalui sistem eSepakat dan disalurkan kepada agensi berkaitan.

Artikel Berkaitan:

“Bukan itu sahaja, perkhidmatan mediasi melalui 571 Mediator Komuniti dalam membantu meredakan konflik.

“Kita boleh juga, mewujudkan Pusat Mediasi Komuniti platform bukan perundangan (litigasi) untuk membantu komuniti dalam menyelesaikan pertikaian.

“Langkah seterusnya pula adalah, Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan, yang terdiri daripada 12 Kementerian dan Agensi yang membolehkan langkah susulan diambil dengan segera,” ujarnya.

Tambah beliau juga, pelaksanaan Dashboard Analitik Perpaduan membolehkan mengenalpasti kawasan ‘hotspot’ untuk diberikan fokus melalui program intervensi.

Ujarnya, langkah terakhir adalah dengan melaksanakan program dan kempen yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!