'Tak tahu mahu ke mana bila PPS ditutup' - Mangsa kebakaran

Mohd Arifin menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran Kampung Cempaka, di Dewan Likas, Kota Kinabalu. Gambar kecil: Dayang Nurain (kiri), Fatimah
Mohd Arifin menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran Kampung Cempaka, di Dewan Likas, Kota Kinabalu. Gambar kecil: Dayang Nurain (kiri), Fatimah
A
A
A

KOTA KINABALU - Walaupun sudah hampir seminggu kejadian kebakaran memusnahkan kira-kira 80 rumah setinggan di Kampung Cempaka, Likas, namun rata-rata penduduk masih trauma mengenang kejadian tersebut.

Malah mereka mungkin akan merempat apabila pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa kebakaran akan ditutup pada Jumaat.

Seorang mangsa, Dayang Nurain Burhan, 33, berkata, mereka tidak berkemampuan untuk mendapatkan rumah sewa dalam masa terdekat.

"Semua barang kami musnah dalam kebakaran tersebut dan ketika ini kami hanya bersandarkan belas ihsan daripada orang ramai termasuk pakaian dan makanan.

"Begitu juga tempat berteduh tetapi PPS akan ditutup menyebabkan kami hilang punca, tidak tahu mahu ke mana memandangkan tiada kemampuan untuk menyewa kerana sewa rumah kebanyakannya mencecah RM1,000 termasuk deposit.

"Jadi kami berharap dapat diberi peluang sementara waktu sehingga kami dapat menyewa atau mencari rumah yang sesuai dengan keadaan kami ketika ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di PPS Dewan Likas, di sini pada petang Khamis.

Mengingat kejadian yang menimpa awal pagi Sabtu lalu, Dayang Norain yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga masih tidur tetapi terkejut selepas terdengar jeritan jiran yang mengatakan berlaku kebakaran.

"Apabila saya bangun, api sudah menjulang naik ke atas betul-betul di hadapan rumah kami. Tanpa berlengah, kami sekeluarga seramai 11 orang berlari keluar tanpa sempat membawa barangan lain.

"Walaupun sudah hampir seminggu berlalu tetapi kami masih trauma dengan apa yang berlaku, masih terbayang keadaan api ketika itu yang memusnahkan rumah yang kami diami sejak lahir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kakaknya pula, Dayang Rohana, 37, berkata, bukan hanya pakaian uniform sekolah anak-anaknya musnah tetapi pakaian sedondon berwarna hijau yang dibelinya untuk menyambut Hari Raya juga hanya tinggal kenangan.

"Pakaian sekolah dua anak saya yang bersekolah rendah dan juga seorang lagi bersekolah menengah tidak sempat diselamatkan dalam kejadian itu.

"Begitu juga empat pasang pakaian saya dan anak-anak yang dibeli dari kedai dalam talian juga turut musnah. Sambutan Hari Raya kami tahun ini sekeluarga tidak bermakna lagi," katanya.

Seorang lagi mangsa, Fatimah Hamdan, 63, berkata, mungkin pihak kerajaan dapat membantu mereka dengan menyediakan serba sedikit peralatan untuk membina semula rumah yang terbakar di tapak yang sama.

"Sepatutnya jika kami diminta keluar dari PPS, ada tempat lain disediakan buat sementara waktu memandangkan rata-rata penduduk tidak berkemampuan untuk menyewa rumah ketika ini.

"Berilah kami tempat tinggal sementara atau bantuan kayu untuk kami bina semula rumah sebelum kami dipindahkan ke tempat lain," katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Sains merangkap Exco Agama Islam dan Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perbincangan akan dilakukan bersama pimpinan di kawasan bagi membantu penduduk yang terjejas untuk mereka mendapatkan tempat berteduh terutama ketika di bulan Ramadan ini.

Bagi mangsa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, Mohd Arifin berkata, pihaknya akan mengenal pasti jumlah keseluruhan mereka untuk diberikan bantuan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah.

"Ini bagi membantu anak-anak yang terjejas menjalani pembelajaran mereka," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di dewan tersebut.

Sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 daripada Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) dan RM200 daripada Baitulmal itu diharap dapat membantu mengurangkan beban 91 ketua isi rumah yang terjejas dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!