'Orang lain ziarah kubur ibu bapa, tapi kami tak tahu di mana jasad ayah'

SUNGAI PETANI - Anak kepada mangsa bunuh Sabari Baharom berharap doanya pada Ramadan ini termakbul dan memohon keajaiban agar jasad bapanya ditemui.
Suraiya Izzaty, 30, berkata, kedatangan Ramadan kali ini amat dinanti-nantikan kerana ingin berdoa bersungguh-sungguh agar ALLAH SWT memakbulkan permintaannya.
"Kita hanya mampu berdoa. Sebagai manusia biasa, kita tak dapat buat apa-apa kecuali berdoa.
"Saya sangat menantikan Ramadan ini... mana tahu doa saya dimakbulkan di bulan yang mulia ini. Saya harap ada keadilan untuk ayah... dan jasadnya ditemui, moga-moga ada keajaiban," katanya sebak.

Suraiya Izzaty merupakan anak sulung kepada Sabari, mangsa pembunuhan kejam dengan cara dicampak ke dalam Sungai Padang Terap.
Lebih menyayat hati, mangsa dikatakan dicampak dengan keadaan tangan diikat, manakala mulutnya ditutup dengan pita pelekat.
Mengimbas kenangan lalu, Suraiya berkata, bapanya sering berbuka puasa di masjid dan menghadiri solat tarawih serta qiamullail setiap kali Ramadan.
Namun, jika anak-anak pulang ke kampung, Sabari akan memasak lauk kegemaran untuk berbuka puasa bersama.
"Ayah memang suka memasak kalau anak-anak balik... Selepas ini, tiada lagi kelibat ayah tunggu di depan pintu setiap kali kami pulang ke kampung. Pagar pun kena buka sendiri," katanya sayu.
Selain gemar mencuba pelbagai resipi, Sabari juga banyak menghabiskan masa dengan mengaji al-Quran.
Sementara itu, adiknya, Muhammad Amir Hakimi, 26, turut berharap keajaiban berlaku dan jasad bapanya ditemukan.
"Orang lain, kalau raya, sekurang-kurangnya masih boleh menziarahi kubur ibu bapa.
"Kami tak tahu di mana jasad ayah. Pergi ke sungai pun rasa lain. Harap ada keajaiban agar jasadnya dapat ditemukan," katanya.
Muhammad Amir juga berkata, kenangan membeli baju raya sedondon tidak dapat diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Raya tahun lepas paling meriah, paling banyak bergambar. Tak sangka raya kali ini begini jadinya," katanya sebak.
Sebelum ini, media melaporkan Sabari, tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling, hilang sejak 4 September tahun lalu.
Kehilangannya menjadi misteri selepas kereta milik mangsa ditemui terbakar di Kampung Pulau Belantek, Sik, kira-kira 60 kilometer dari rumahnya.
Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa, Wang Tepus, Jitra, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.
Kejadian itu terbongkar susulan penahanan dua lelaki tempatan, seorang kontraktor dan anak saudaranya, yang dikatakan sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan berdekatan rumah Sabari ketika itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

