IMF tak peduli usaha agih kekayaan lebih adil kepada kaum jika Malaysia terima pinjaman

Tangkap layar siaran Podcast Dr M di Youtube pada Khamis.
Tangkap layar siaran Podcast Dr M di Youtube pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan rasional di sebalik penolakan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika negara berdepan krisis kewangan pada 1997.

Beliau berkata, sekiranya urusan ekonomi negara diserahkan kepada IMF, pihak tersebut tidak akan mengambil kira Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan mengetepikan usaha Malaysia untuk mengagihkan kekayaan lebih adil buat semua kaum.

Menurutnya pada ketika itu, tidak akan wujud istilah kemerdekaan jika ekonomi negara dicampuri kuasa lain.

"Kita mempunyai satu dasar dalaman yang amat penting iaitu agihan kekayaan lebih adil buat semua kaum menerusi DEB.

"Kalau kita serah urusan ekonomi negara kepada IMF, mereka takkan ambil kira DEB dan ketepikan usaha untuk mengagihkan kekayaan secara lebih adil.

"Sebab itulah kita tak boleh terima. Negara lain mungkin, tetapi kita tidak kerana takkan ada kemerdekaan jika ekonomi Malaysia dikuasai oleh kuasa lain," katanya menerusi Podcast Dr M episod 1 bersama moderator, Shamsul Akmar yang disiarkan di Youtube pada Khamis.

Tangkap layar Dr Mahathir (kanan) bersama moderator dalam siaran Podcast Dr M di platform Youtube.
Tangkap layar Dr Mahathir (kanan) bersama moderator dalam siaran Podcast Dr M di platform Youtube.

Terdahulu, krisis kewangan Asia dilaporkan berlaku pada pertengahan 1997 bermula di Thailand dan merebak ke hampir semua negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Jepun serta Republik Korea.

Kesemua negara terlibat mengalami kejatuhan nilai mata wang, pasaran saham dan aset, tidak lama kemudian Malaysia pula diserang oleh penyangak mata wang yang membawa kepada jualan menyeluruh di pasaran saham serta tukaran wang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Malaysia merupakan negara terpantas pulih daripada krisis berkenaan pada 1998, malah ramai memuji keberanian Dr Mahathir kerana menyelesaikan isu tersebut dengan menggunakan sumber dan kekuatan kepakaran dalam negara tanpa bergantung pinjaman IMF.

Ditanya mengenai komen sewaktu melihat Indonesia menerima pinjaman IMF ketika itu, Dr Mahathir berpandangan, imperialisme iaitu tindakan menjajah atau mengenakan kuasa pemerintahan ke atas negara lain sudah kembali semula.

Tambah beliau, nilai mata wang Indonesia jatuh dengan lebih teruk selepas Presiden Indonesia, Soeharto menandatangani perjanjian pinjaman IMF.

"Apa yang pernah dikatakan oleh Presiden Seokarno iaitu neokolonialisme memang pun berlaku dan terkena kepada Indonesia kerana IMF menjatuhkan nilai mata wang Indonesia dengan lebih teruk.

"Tiba-tiba Indonesia menjadi lebih miskin berbanding dahulu. Jadi, untuk keluar daripada kemiskinan dan membayar semula hutang yang banyak, Indonesia terpaksa terima cadangan IMF supaya ekonomi diuruskan olehnya dan Bank Dunia.

"Jadi, kebebasan Indonesia terjejas apabila kuasa diambil alih oleh IMF dari segi ekonomi dan kewangan," ujar negarawan itu lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!