Kes Ismail Sabri tiada kaitan dengan UMNO - Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] UMNO menafikan parti itu mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkan parti itu dengan kes berkenaan dan menekankan bahawa siasatan harus dijalankan secara telus, bebas dan adil tanpa sebarang gangguan.
"UMNO memandang serius sebarang cubaan mengaitkan parti ini dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tersebut.
"Dalam masa sama, parti tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh atau mencipta persepsi UMNO mempunyai hubungan dengan kes sedang disiasat," ujarnya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Sebelum ini, SPRM akan merekodkan keterangan Ismail Sabri buat kali kedua berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai dan jongkong emas bernilai lebih RM170 juta di sebuah 'safe house' yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Kesembilan itu.
Bagaimanapun, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, proses rakaman percakapan Ahli Parlimen Bera yang dijadualkan pada Rabu ditangguhkan pada Jumaat. SPRM memaklumkan, penangguhan itu disebabkan faktor kesihatan Ismail Sabri.
Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri sudah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lalu. Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Sebelum ini, UMNO turut dikaitkan dengan penemuan wang tunai, barang kemas dan aset lain bernilai RM680 juta yang disita daripada kondominium di Pavilion Residences, Kuala Lumpur milik Obyu Holdings Sdn Bhd pada 2018.
Seorang lagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa RM114 juta yang dikembalikan adalah bukan miliknya tetapi hak UMNO.
Menerusi afidavit jawapan terhadap permohonan injunksi mareva oleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang difailkan pada 28 Jun 2023, melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co, Najib berkata, wang itu disimpan secara amanah bagi pihak UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beberapa hari sebelum serbuan dibuat di kediamannya.
Menurutnya, selaku Presiden UMNO, beliau telah diamanahkan dengan dana tersebut untuk tujuan pilihan raya, sekali gus tidak menjadikannya sebagai pemilik asal wang tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!