Pejuang persoal siasatan berhubung kes Ismail Sabri

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempersoalkan kaedah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dijalankan terhadap kes individu berprofil tinggi termasuk melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali mendakwa siasatan terhadap mereka yang lantang menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijalankan secara tegas.
Sebaliknya beliau mendakwa, siasatan terhadap mereka yang berpihak kepada Anwar pula seolah-olah diketepikan begitu sahaja.
"Melawan rasuah dan salah guna kuasa itu baik. Tetapi tidak baik apabila SPRM dilihat aktif dalam kes-kes yang melibatkan individu yang 'melawan' Perdana Menteri.
"Sebaliknya, darjat lain pula yang 'bersama' dengan Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Ismail Sabri akan hadir untuk direkod keterangan kali kedua berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan isu Keluarga Malaysia membabitkan dana pengiklanan dan promosi agenda kerajaan bernilai RM700 juta.
Bagaimanapun menurut sumber, proses merekod keterangan Ismail Sabri yang dijadualkan pada Rabu terpaksa ditangguhkan hingga Jumaat atas faktor kesihatannya.
Ujar Muhammad Rafique, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah menafikan bahawa terdapat dendam politik dalam isu berkenaan, namun agensi tersebut berada di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia.
"Pada awal 2024, Ismail Sabri telahpun dipanggil untuk siasatan. Kemudian isu ini senyap sepi tiada sebarang berita hinggalah ura-ura pertukaran kerajaan di media sosial. Ditambah pula keberanian dan lantang Ismail Sabri mempersoal kerajaan dalam isu tarif letrik.
"Berbeza pula dengan kes Timbalan Perdana Menteri 1. Dituduh, dihadap ke mahkamah, didapati prima facie, dipanggil bela diri, tetapi tiba-tiba pada September 2023 dipohon DNAA 47 kes oleh pendakwa raya.
"Apa yang disiasat dari September 2023 sehingga sekarang 17 bulan? Tiada berita tiada perkembangan?" soalnya.
Muhammad Rafique turut mempersoalkan tindakan badan siasatan berkenaan dalam isu lain termasuk melibatkan bekas Setiausaha Politik Anwar dan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah menerusi video tular seluruh negara.
“Mengapa tiada sidang media dan siasatan terbuka SPRM berkaitan skandal RM10 juta di DBKL yang babitkan orang parti Perdana Menteri sendiri?
“Selagi SPRM tidak diletakkan di bawah Parlimen untuk disoal secara terbuka, selagi itu SPRM akan dilihat bermain politik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

