Penyeludupan pelbagai komoditi bernilai lebih RM7 juta tumpas

KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan aktiviti penyeludupan melibatkan pelbagai komoditi berjumlah lebih RM7 juta termasuk merampas tembakau 'hookah' bernilai RM4.38 juta.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, kesemua rampasan penyeludupan itu melibatkan tiga kes pada Januari lalu iaitu masing-masing di Pelabuhan Klang di sini.
Menurutnya, rampasan tembakau 'hookah' diperoleh menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat dan sebanyak 3,403 karton yang tidak mempunyai permit import.
"Kuantiti sitaan tembakau tersebut adalah 20,418 kilogram dan nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM2.45 juta, manakala duti berjumlah RM1.93 juta.
"Bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, barang dagangan berupa tembakau 'hookah' ini telah diikrar sebagai 'school supplies'.
"Namun begitu, barangan tersebut langsung tidak mempunyai barangan persekolahan, selain tidak juga diberikan perincian penuh," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Selangor, Pelabuhan Utara di sini pada Khamis.

Ahmad Taufik memberitahu, bagi kes kedua, pihaknya menahan lima kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 7 Januari, menerusi kerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan dagangan yang disyaki 10 unit kabin van dalam bentuk kenderaan import sepenuhnya (CBU) yang bercat iaitu 'welded cabin'.
Jelasnya, dagangan tersebut tidak mempunyai permit kelulusan (AP) khas oleh MITI, selain tidak memenuhi kriteria kereta pemasangan tempatan (CKD) seperti yang digariskan dalam peraturan Kastam.
Katanya, anggaran nilai 10 unit kabin van itu berjumlah RM838,915 dan nilai cukai sebanyak RM41,946.
"Modus operandi yang digunakan adalah mengikrar dagangan menggunakan kod tarif salah bagi tujuan mengelak keperluan mendapatkan AP Khas oleh MITI," jelasnya.
Sementara itu, bagi kes ketiga pada 9 Januari lalu, Ahmad Taufik berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah gudang dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan 607.6 liter atau 868 botol minuman keras disyaki tidak berkastam dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM30,380, manakala duti sebanyak RM100,871.
Tambahnya, dalam kes berlainan pada 11 Januari, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas dua buah kontena dan menemukan pelbagai jenis minuman keras yang dianggarkan bernilai RM237,000 dan nilai cukai sebanyak RM1.36 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
