Penyeludup giat 'hantar barang bersubsidi' ke negara jiran menjelang Hari Raya

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Beras, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG) antara barang bersubsidi yang berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dalam dua operasi berasingan pada Selasa lalu.

Dalam operasi tersebut, dua lelaki sebagai juragan masing-masing berusia 32 dan 35 tahun turut ditahan bersama barangan bersubsidi yang ditemui di dalam bot kargo dianggarkan bernilai RM41,000.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kejayaan tersebut adalah hasil risikan berterusan dan operasi penguatkuasaan yang diperketat bagi membanteras penyeludupan barang kawalan terutama menjelang perayaan Aidilfitri.

Menurut Shahrizan, dalam dua operasi berasingan itu, pihaknya berjaya menahan dua bot kargo yang membawa lebih tujuh tan barang bersubsidi tanpa permit.

Antara barang bersubsidi yang dirampas dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Antara barang bersubsidi yang dirampas dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

"Kes pertama, sebuah bot kargo tempatan didapati membawa muatan sebanyak 415 pek beras, 80 karton gula pasir, 19 kotak tepung gandum dan tujuh kotak minyak masak telah ditahan di perairan Batu Tiga.

"Hasil pemeriksaan, juragan tersebut gagal mengemukakan dokumen atau permit yang sah untuk membawa barangan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya lagi, dalam kes kedua pula, pihaknya berjaya menahan sebuah lagi bot kargo di kuala Sungai Tawau selepas dikesan cuba memecut laju ke arah perairan Pulau Sebatik.

"Sebaik berjaya ditahan, hasil pemeriksaan dalam bot tersebut terdapat muatan sebanyak 50 tong LPG dan 65 pek beras juga didapati tanpa sebarang permit yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Lebih mencurigakan, nama juragan tidak tersenarai dalam lesen operasi bot tersebut dan membawa kepada penahanan kepada juragan tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Shahrizan berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

"Susulan penahanan itu, kedua-dua bot bersama muatan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan enjin, mencecah hampir RM126,000," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!