Minggu pertama puasa, dompet sudah menipis

SETIAP kali Ramadan menjelang, ramai yang tidak sabar menantikan Aidilfitri.
Bukan sekadar ibadah dan persiapan rohani tetapi juga keseronokan membeli-belah.
Zaman sekarang, semuanya di hujung jari. Dengan pelbagai promosi jualan mega secara dalam talian, ramai yang tergoda untuk menekan butang beli tanpa memikirkan bajet selepas raya.
Merak Jalanan baru-baru ini, terdengar perbualan sekumpulan rakan yang begitu seronok bercerita tentang barangan yang mereka beli.
Daripada baju baharu, kasut berjenama, langsir terkini, perabot moden hinggalah ke set meja makan, semuanya dibeli secara dalam talian. Bak kata orang, 'order' dengan jari.
Katanya, Aidilfitri hanya sekali setahun, jadi tidak salah berbelanja lebih sedikit untuk bergaya dan mencantikkan rumah.
Namun, yang menjadi masalah ialah apabila semua itu dibuat tanpa merancang bajet dengan bijak.
Ada yang tanpa sedar telah menggunakan hampir keseluruhan gaji dan bonus semata-mata untuk keperluan raya.
Akibatnya, selepas Syawal berlalu, dompet mula ‘kering’ dan terpaksa berjimat sakan, ada yang hanya mampu makan mi segera hingga hujung bulan.
Merak Jalanan bukanlah hendak menidakkan keseronokan beraya, tetapi beringatlah! Aidilfitri bukan hanya tentang pakaian baharu dan rumah serba indah.
Apa gunanya berbelanja mewah jika akhirnya diri sendiri terbeban dengan masalah kewangan? Tidur pun tidak lena.
Justeru, Merak Jalanan menasihatkan agar setiap individu menetapkan bajet khas untuk beraya dan pastikan ada baki untuk kegunaan selepas raya.
Jangan kerana mahu kelihatan bergaya di pagi Syawal, akhirnya menderita selepasnya.
Sementara Ramadan masih berbaki tiga minggu lagi, sempat lagi untuk kita semua berhemah dalam berbelanja.
Merak Jalanan pernah dengar perumpamaan ini, 'ukur baju di badan sendiri' yang mungkin sesuai kepada si pemboros.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
