Dividen tinggi atau pengeluaran bersasar, mana satu pilihan?

BARU-BARU ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan boleh memberi pertimbangan khas bagi pengeluaran dana simpanan melibatkan kes kritikal meskipun di luar syarat dan kaedah sedia ada.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tidak ada kelonggaran berlebihan akan diberi selari prinsip KWSP iaitu simpanan untuk hari tua pencarum.
Menurutnya, kebenaran tersebut akan menghukum pencarum apabila mereka tua dan bersara kelak.
Susulan itu pelbagai reaksi diterima daripada orang ramai berhubung cadangan KWSP dan pandangan Anwar itu.
Ada yang setuju dan ada juga yang tidak setuju namun masing-masing mempunyai pandangan yang tersendiri mengenai isu tersebut.
SOKONG
Kurangkan beban kos sara hidup
Pengeluaran bersasar boleh membantu mengurangkan beban golongan memerlukan misalnya individu yang kehilangan pekerjaan, memerlukan bantuan kecemasan perubatan dan dihimpit kos sara hidup yang tinggi.
Perkara tersebut amat menyesakkan terutamanya buat mereka yang bekerja atau bermastautin di Kuala Lumpur, Shah Alam dan sebagainya.
Pengumuman kadar dividen KWSP baru-baru ini memang menggembirakan pencarum kerana masing-masing bakal menerima agihan sebanyak 6.3 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah.
Namun, ia tidak bermakna apa-apa kalau KWSP menggunakan mekanisme pembahagian kepada ketiga-tiga akaun kerana pada akhirnya Akaun Fleksibel hanya menerima sedikit agihan.
Saya fikir sekurang-kurangnya luluskan pengeluaran RM10,000 daripada KWSP i-Akaun sudah memadai untuk lunaskan komitmen dan hutang-piutang.
Ambil kira semua perkara ini kerana umum tahu keadaan ekonomi sekarang tidak menentu, rakyat juga menghadapi tekanan kewangan dan dibimbangi membawa kepada masalah kesihatan mental serta konflik kekeluargaan pula.
- Eksekutif komunikasi korporat,
Nur Safikah Khairul Nizam, 27.
Tampung perubatan, dana kecemasan
Pengeluaran KWSP secara bersasar merupakan inisiatif yang bagus dan saya sokong pendekatan tersebut disebabkan keadaan ketika ini lebih-lebih lagi selepas negara dalam fasa pemulihan Covid-19, ia amat membantu.
Kita faham bahawa KWSP ialah salah satu pelaburan jangka masa panjang yang digunakan untuk kehidupan selepas bersara tetapi dengan keadaan sekarang, rakyat amat memerlukan wang.
Tidak dinafikan, kerajaan beri banyak bantuan dari segi penyaluran subsidi dan beberapa insentif lain, namun kebanyakan masalah kewangan dihadapi rakyat boleh diselesaikan hanya dengan wang.
Jika pencarum boleh keluarkan wang simpanan masing-masing daripada i-Akaun, mereka boleh selesaikan banyak perkara seperti pembelian barangan asas, yuran persekolahan anak-anak, bantuan perubatan, bahkan persediaan bagi golongan kehilangan pendapatan akibat diberhentikan kerja.
Bukan itu sahaja, ramai yang belum memasuki umur 55 tahun tapi berdepan pelbagai penyakit, caj rawatan dan rehabilitasi sudah tentu menelan kos yang tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit.
Walaupun subsidi ubat disediakan kerajaan tetapi kos untuk merawat penyakit kronik amat mahal dan ini membuatkan mereka berdepan komitmen kewangan yang tinggi.
- Penerbit TV Swasta, Israel Daniel Subramaniam, 29.
BANGKANG
Persediaan tampung kehidupan hari tua
Pada pandangan saya, teruskan menyimpan dan mencarum seperti biasa adalah lebih baik kerana kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
Mungkin apabila bersara nanti, sudah tidak ada wang simpanan kecemasan yang boleh digunakan. Bukankah itu lebih menyusahkan nanti?
Bila umur semakin lanjut, kudrat pun sudah tiada, bagaimana nak teruskan hidup untuk menampung biaya kehidupan seharian ketika usia senja?
Tak bolehlah terlalu bergantung harap kepada anak-anak meskipun ramai yang boleh membantu. Mereka juga sudah tentu ada kehidupan sendiri, kemudian merancang untuk bina keluarga pula.
Jadi, pada usia muda inilah waktu yang sesuai untuk kita perah tenaga cukup-cukup, bekerja dan menyimpan atau mencarum dalam KWSP.
Kalau simpanan kita tinggi, maka makin banyaklah agihan dividen yang kita akan dapat nanti.
Perkara ini pencarum perlu fikir panjang. Jangan gelap mata apabila lihat wang begitu banyak dalam KWSP.
Jadi, lebih baik saya kekalkan pilihan menyimpan dan mencarum ini.
Lagipun, duit boleh dicari dengan macam-macam cara misalnya berniaga dan sebagainya tetapi bukan dengan cara mengeluarkan wang simpanan dalam KWSP.
- Pekerja swasta, Maisyarah Ali, 24.
Teruskan menyimpan, nikmati dividen tinggi
Simpanan KWSP sebaiknya jangan disentuh kerana sekurang-kurangnya ada dana kecemasan selepas bersara untuk teruskan hidup nanti.
Kita juga tidak tahu bila akan meninggal dunia. Apa nasib isteri dan anak-anak apabila ketiadaan ketua keluarga yang mencari rezeki kelak?
Jadi, penting untuk memilih dividen kerana KWSP kebiasaannya menawarkan kadar yang tinggi berbanding akaun simpanan bank lain.
Pencarum yang memilih pengeluaran bersasar sudah tentu tidak dapat menikmati faedah yang boleh meningkatkan jumlah simpanan untuk jangka masa panjang.
Contohnya, seseorang itu pernah keluarkan RM45,000 sewaktu berumur 32 tahun. Dia tidak terfikir bahawa jumlah terbabit boleh cecah lebih RM100,000 selepas bersara nanti.
Saya yakin kadar dividen KWSP akan sentiasa stabil dan tidak kurang daripada 5.5 peratus, jadi sebaiknya kita simpan dan nikmati dividen tinggi.
Bukan semua orang mampu urus wang dengan baik ditambah pula dengan penggunaan media sosial yang meluas, platform niaga dalam talian dan skim cepat kaya.
Pasti akan ada yang terjerat jika menggunakan wang simpanan ke arah itu.
Justeru, menekankan amalan menyimpan dalam KWSP berbanding mengeluarkannya adalah satu strategi kewangan yang bijak.
Paling penting caruman bulanan konsisten, tidak kira sama ada daripada majikan mahupun simpanan secara sukarela.
- Usahawan, Mohizam Mat Husin, 43.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

