Trump kenakan tarif 25 peratus, Kanada, Mexico bersiap sedia

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan import dari Mexico dan Kanada akan berkuat kuasa pada 4 Mac, sekali gus meningkatkan ketegangan perdagangan di rantau Amerika Utara serta menggoncang pasaran kewangan global.
Kenyataan Trump pada 3 Mac menyebabkan kejatuhan saham di seluruh dunia dan menekan hasil bon lebih rendah.
Mata wang peso Mexico dan dolar Kanada turut mengalami kejatuhan selepas pengumuman tersebut.
“Mereka perlu menerima tarif ini. Jadi, apa yang mereka harus lakukan ialah membina kilang kereta dan industri lain di Amerika Syarikat (AS), dan dengan itu, mereka tidak perlu membayar tarif,” kata Trump di Rumah Putih.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada lagi ruang untuk sebarang perjanjian yang boleh mengelakkan tarif ini kecuali Mexico dan Kanada mengambil langkah tegas bagi menghalang kemasukan fentanyl atau dadah sintetik ke AS.
Selain itu, Trump turut mengesahkan bahawa beliau akan meningkatkan tarif ke atas semua barangan import dari China kepada 20 peratus berbanding kadar sebelumnya sebanyak 10 peratus sebagai hukuman terhadap Beijing kerana gagal menghentikan penghantaran fentanyl ke AS.
Menurut perintah yang dikeluarkan oleh Trump, China 'tidak mengambil langkah yang mencukupi bagi mengatasi krisis dadah haram'.
Pakar ekonomi dan ketua eksekutif syarikat memberi amaran bahawa tarif ke atas Kanada dan Mexico, yang melibatkan lebih AS$900 bilion (RM4.2 trilion) import tahunan AS, akan memberi kesan buruk kepada ekonomi Amerika Utara yang sangat bergantung antara satu sama lain.
Menurut notis yang diterbitkan dalam Daftar Persekutuan, tarif tersebut akan dikuatkuasakan bermula jam 12.01 pagi (waktu tempatan) pada 4 Mac, dan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS akan mula mengutip 25 peratus cukai ke atas barangan dari Kanada dan Mexico, dengan kadar 10 peratus bagi sektor tenaga dari Kanada.
Tambahan tarif ke atas barangan China juga akan berkuat kuasa pada waktu yang sama.
Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada 3 Mac menegaskan bahawa negaranya akan membalas dengan mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan AS bernilai C$155 bilion (RM516 bilion) jika tarif Trump tetap diteruskan, sambil menggesa Washington untuk mempertimbangkan semula langkah tersebut.
Trudeau berkata, tarif Kanada akan dikenakan ke atas produk bernilai C$30 bilion (RM100 bilion) sebaik sahaja tarif AS dikuatkuasakan pada 4 Mac, manakala cukai ke atas baki C$125 bilion (RM416 bilion) produk AS akan menyusul dalam tempoh 21 hari.
“Tarif ini akan kekal sehingga tindakan perdagangan AS ditarik balik. Jika tidak, kami sedang berbincang dengan kerajaan wilayah dan persekutuan untuk melaksanakan beberapa langkah bukan tarif,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Kementerian Ekonomi Mexico berkata, pihaknya tidak akan memberikan respon rasmi sehingga sidang media pagi Presiden Claudia Sheinbaum pada 4 Mac.
Bagaimanapun, Sheinbaum menegaskan bahawa Mexico bersedia dengan pelbagai langkah tindak balas.
“Kami ada pelan B, C, D,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri wilayah Ontario, Doug Ford memberi amaran bahawa perang tarif ini akan menjadi 'malapetaka besar' kepada kedua-dua negara.
“Saya tidak mahu bertindak balas, tetapi kami akan bertindak balas dengan cara yang mereka tidak pernah lihat sebelum ini,” katanya kepada NBC.
Beliau memberi amaran bahawa kilang automotif di Michigan mungkin ditutup dalam tempoh seminggu dan Ontario akan menghentikan penghantaran nikel serta bekalan elektrik rentas sempadan ke AS.
“Saya akan menyerang segala aspek perdagangan mereka,” tegas Ford. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
