[VIDEO] Polis ambil tindakan terhadap pemilik premis kondominium terlibat kegiatan penipuan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan mengenakan tindakan terhadap pemilik premis, badan pengurusan bersama (JMB) dan syarikat kawalan keselamatan dalam usaha mengekang kegiatan jenayah penipuan yang kerap menggunakan premis kondominium sebagai markas mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil daripada beberapa serbuan yang dijalankan, pihaknya mendapati premis kediaman jenis kondominium digunakan sebagai pusat panggilan penipuan.

"Alasan tidak mengetahui aktiviti yang dilakukan dalam premis tidak boleh dipertimbangkan.

“Kita akan mencadangkan pertuduhan di bawah Seksyen 120(B) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pakat jahat jenayah," katanya dalam sidang media di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini pada Rabu.

Ramli berkata, pakat jahat jenayah merupakan kesalahan yang boleh mengakibatkan individu yang dituduh dihukum seolah-olah dia bersubahat dengan kesalahan itu.

“Sebagai pemilik premis, mereka wajar dipertanggungjawabkan terhadap sebarang aktiviti jenayah yang dilakukan di premis milik mereka.

“Saya mengulangi gesaan pemilik premis mengambil tahu dan melaksanakan KYC (know your customer) sebelum membenarkan premis mereka disewa dan digunakan oleh orang lain," katanya

Ramli menunjukkan barang sindiket pusat panggilan penipuan yang dirampas. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ramli menunjukkan barang sindiket pusat panggilan penipuan yang dirampas. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

Menurut Ramli, hasil risikan yang dijalankan mendapati sebahagian syarikat kawalan keselamatan dan pihak pengurusan bangunan sememangnya mengetahui kewujudan aktiviti jenayah di kondominium tersebut, namun sama ada ia dilindungi atau tidak dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, kegiatan penipuan yang melibatkan cabutan bertuah, pelaburan saham, dan tipu permainan 'online' dikesan di Jalan Tun Razak pada 26 Februari lalu melalui tiga serbuan yang dijalankan.

“Seramai 11 individu warga China berusia antara 28 hingga 42 tahun telah ditahan dalam serbuan itu. Tiga sindiket berasingan ini dikesan menjalankan kegiatan mereka sejak dua bulan hingga setahun lalu di tiga unit kondominium terbabit,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama, tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 28 hingga 42 tahun ditahan kerana menjalankan kegiatan penipuan cabutan bertuah secara dalam talian menggunakan applikasi QQ yang menawarkan hadiah kemenangan.

“Mangsa perlu mendaftar melalui applikasi QQPK dan membuat tambah nilai mengikut pakej ditawarkan namun selepas pembayaran dibuat, mangsa disekat daripada mendaftar dan mengalami kerugian,” katanya.

Dalam serbuan kedua, Ramli berkata, dua lelaki ditahan kerana menjalankan kegiatan penipuan permainan dalam talian dengan menggunakan aplikasi Telegram untuk mengiklankan pelbagai permainan berkenaan menerusi platform 'vp999 games'.

"Mangsa yang berminat diarah membuat pembayaran menerusi matawang kripto USDT sebelum mendaftar, namun selepas membuat bayaran, mangsa tiada akses kepada permainan yang dijanjikan,” katanya.

Ramli berkata, dalam serbuan ketiga, lima lelaki lingkungan umur 33 hingga 35 tahun ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan pusat panggilan penipuan pelaburan saham, yang akan memberi tunjuk ajar kepada mangsa menerusi penstriman langsung.

"Sindiket berkenaan didapati menggunakan sebuah platform dan mangsa diberikan akses kepada applikasi Mosgram bagi menyertai penstriman langsung untuk mengetahui kononnya cara pelaburan dengan lebih terperinci," katanya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120 (B) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!