[VIDEO] Polis bongkar sindiket proses dadah, cecair vape di 'homestay', kondominium
KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah yang menggunakan rumah inap desa dan kondominium mewah sebagai stor untuk menyimpan dan memproses dadah, termasuk cecair rokok elektronik berjaya dibongkar dalam operasi serbuan di sekitar Lembah Klang, pada 26 Februari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 26 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan di Jalan Gombak, Taman Kuchai Jaya, Taman Sungai Besi dan Taman Salak Jaya bermula jam 2 petang hingga 10.20 malam.
"Empat suspek terbabit dipercayai terlibat dengan aktiviti memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah termasuk seorang yang berperanan sebagai ‘ahli kimia’ untuk menghasilkan cecair rokok elektronik.
“Dalam operasi ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kuala Lumpur berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM11.53 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Rusdi berkata, rampasan dadah terdiri daripada pil ekstasi seberat 62.64 kilogram (kg) bernilai RM10.46 juta.
"Kita turut merampas syabu seberat 20.78 kg bernilai RM664,000, 5.23kg ketamin bernilai RM261,050, pil erimin 5 seberat 1.15kg bernilai RM114,500 dan 214 unit kartrij vape bernilai RM30,000,” katanya.
Menurutnya, polis turut merampas pelbagai bahan kimia, peralatan dan kartrij vape yang mengandungi cecair disyaki campuran dadah jenis ketamin dan syabu serta perisa.
"Kita turut menyita wang tunai, barang kemas dan sebuah kereta jenis Toyota Yaris dengan nilai keseluruhan sitaan RM88,700," katanya.
Rusdi berkata, serbuan pertama di Jalan Gombak membabitkan tangkapan suspek lelaki dan perempuan tempatan berusia 26 dan 42 tahun, dan semakan mendapati kedua-duanya tiada rekod jenayah, namun ujian saringan air kencing didapati positif methamphetamine.
“Serbuan kedua di Taman Kuchai Jaya menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun yang berperanan sebagai ahli kimia untuk memproses kartrij vape yang mengandungi dadah.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod narkotik dan turut didapati positif amphetamine,” katanya.
Beliau berkata, suspek keempat ditahan dalam serbuan ketiga di Taman Sungai Besi iaitu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang berperanan sebagai penghantar dadah dan penjaga stor.
Menurutnya, suspek mempunyai dua rekod jenayah narkotik dan ujian urin ke atas lelaki itu didapati negatif dadah.
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menjadikan rumah inap desa sebagai stor menyimpan dadah sebelum diserahkan kepada pelanggan.
“Sindiket ini juga menjadikan kondominium mewah sebagai tempat memproses perisa vape mengandungi dadah. Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal Januari tahun ini dengan menyasarkan pelanggan di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Rusdi berkata, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 116,000 orang pengguna.
“Dua suspek sudah dituduh mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Manakala dua lagi suspek masih direman selama tujuh hari hingga 5 Februari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
