Lima keldai akaun kes tipu pelaburan diberkas

KUALA LUMPUR - Seramai lima individu disyaki pemilik keldai akaun telah ditahan bagi membantu siasatan berkaitan skim penipuan pelaburan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua individu berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pada tahun lalu dan awal tahun ini.
"Pasukan penyiasat sedang mengesan suspek utama kes ini dan siasatan sedang dilengkapkan.
"Justeru, tidak timbul isu bahawa pihak polis tidak menyiasat skim pelaburan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini pada Rabu.
Ramli berkata, pihaknya menerima 80 laporan membabitkan kerugian RM24,813,086.47 berkaitan penipuan pelaburan tersebut.
"Siasatan setakat ini mendedahkan skim pelaburan ini telah dimulakan sekitar tahun 2019 lagi dan menjanjikan keuntungan sebanyak tujuh peratus sebulan," katanya.
Beliau berkata, pelabur yang berminat dikehendaki memuat turun aplikasi pelaburan yang ditetapkan.
"Mereka boleh memantau serta melihat prestasi pelaburan tersebut.
"Masalah mula timbul apabila syarikat tersebut telah menukar pelaburan mereka kepada pelaburan kripto tanpa persetujuan pihak pelabur," katanya.
Menurutnya, pelabur juga hanya dapat melihat paparan keuntungan dari aplikasi tanpa boleh mengeluarkan wang tersebut.
"Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan," katanya.
Ramli berkata, orang ramai dinasihatkan melakukan semakan sewajarnya sebelum melabur.
"Para pelabur perlu memastikan syarikat tersebut dilesenkan oleh agensi kerajaan yang berkaitan seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat pembayaran pertama.
"Ini penting bagi memastikan pelaburan dibuat selamat dan dilindungi di bawah undang-undang di negara ini," ujarnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 77 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan yang dipercayai didalangi rakyat tempatan dengan menggunakan kira-kira 30 syarikat berperanan sebagai 'local depositor'.
Mangsa mendakwa, syarikat itu berdaftar di Seychelles, Afrika dan mencari mangsa melalui ejen serta wakil-wakil syarikat.
Dakwa mereka lagi, syarikat tersebut membuat penerangan secara dalam talian dengan menjanjikan pulangan sebanyak tujuh peratus sebulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
