Dua wanita jadi keldai akaun tipu lebih RM1 juta ditahan

BALIK PULAU - Dua wanita ditahan pada Selasa selepas disyaki menjadi keldai akaun dalam dua kes berbeza membabitkan kerugian lebih RM1 juta.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek pertama berusia 55 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Barat Daya kerana dipercayai terlibat dalam penjualan kereta tidak wujud di Facebook.
"Suspek ditahan di Kamunting, Perak selepas disyaki menjadi keldai akaun dalam penipuan penjualan kereta tidak wujud di Facebook.
"Mangsa telah membuat pembayaran wang pendahuluan berjumlah RM16,164 ke empat akaun bank berbeza sebelum menyedari dirinya ditipu," katanya dalam kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada Selasa.

Sazalee berkata, seorang lagi wanita berusia 53 tahun ditahan di Tronoh, Perak kerana terlibat dalam sindiket penipuan dengan menyamar sebagai pegawai polis dan wakil platform e-dagang.
"Mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM1 juta selepas dipaksa memindahkan wang ke akaun juruaudit palsu.
"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, Sazalee berkata, polis menumpaskan sindiket pecah rumah dengan menahan tujuh individu dalam satu operasi khas pada Selasa.
Menurutnya, suspek yang terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita itu ditahan dalam serbuan di sekitar negeri ini dan Kedah.

"Mereka berusia lingkungan 23 hingga 38 tahun. Hasil soal siasat mendapati mereka mengaku terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah yang dilaporkan sejak Februari tahun ini.
"Dalam serbuan susulan, kita merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka antaranya speaker, radio, kipas komputer riba, hard disk, telefon bimbit pelbagai jenama, jam tangan berjenama, kunci kereta dan kasut berjenama," katanya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

