MP Pakatan Harapan keluar Istana Negara dengan wajah ceria

Ahli-ahli Parlimen PKR disambut penyokong ketika keluar dari Istana Negara hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahli-ahli Parlimen PKR disambut penyokong ketika keluar dari Istana Negara hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) kelihatan ceria selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, di Istana Negara hari ini.

Mereka antara baki 132 daripada 222 ahli Dewan Rakyat yang dititahkan Seri Paduka untuk menghadiri sesi menghadap dan temu bual dengan baginda, susulan perkembangan terkini situasi politik di Malaysia.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 90 ahli Parlimen bagi mendengar pandangan dan menentukan sokongan kepada pihak mana bagi membentuk kerajaan baharu.

Kesemua ahli Parlimen PH itu dilihat meninggalkan Istana Negara melalui Pintu 2 bermula pukul 12.48 tengah hari selepas menghadiri sesi itu.

Mereka yang menaiki bas dua tingkat disewa khas kemudian melambai kepada petugas media dan penyokong parti yang menunggu sejak 9.00 pagi ini, sebelum beberapa pemimpin PH itu turun dari kenderaan berkenaan untuk bertemu dengan penyokong.

Masing-masing kelihatan ceria dan membayangkan ada ‘perkhabaran baik’ hasil pertemuan dengan Seri Paduka.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang ditemui pemberita berkata, “Berita baik buat rakyat Malaysia. Insya-ALLAH, itu semuanya rahsia Yang di-Pertuan Agong, kami telah membuat aku janji bahawa tidak boleh mendedahkan kepada sesiapa.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Pulai yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, mereka telah menandatangani deklarasi bagi mencalonkan seorang pemimpin PH untuk menjadi perdana menteri.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani enggan mengulas lanjut.

Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli pula secara ringkas berkata, “Pakatan Harapan akan kembali (sebagai kerajaan).”

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Fuziah Salleh pula berkata, “Demi negara kita, demi rakyat di Malaysia, sesungguhnya kita doakan yang terbaik untuk negara kita. Saya syukur dalam beberapa hari kebelakangan ini kita kekal menjaga keamanan negara, kita akan dapat (bentuk kerajaan). Insya Allah kerana kita dalam majoriti.”

Kesemua mereka sebelum itu tiba berperingkat-peringkat bermula jam 10 pagi di Istana Negara.

Turut kelihatan meninggalkan Istana Negara, kenderaan yang membawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Debaran penantian keputusan Agong

Baki 132 Ahli Parlimen menghadap Agong hari ini

Masa depan negara ditentukan rakyat bukan elit politik

Fakta penting berhubung Perdana Menteri Interim

Jangan percaya spekulasi saya tinggalkan UMNO: Hishammuddin