Puji masakan ibu semasa berbuka puasa sebelum maut kemalangan

Jenazah Muhammad Dhani, (foto kecil) dibawa masuk ke van jenazah selepas selesai bedah siasat di Jabatan Forensik HSB. Foto kecil: Sharifah Nur Afzan
Jenazah Muhammad Dhani, (foto kecil) dibawa masuk ke van jenazah selepas selesai bedah siasat di Jabatan Forensik HSB. Foto kecil: Sharifah Nur Afzan
A
A
A

ALOR SETAR – Seorang remaja baru selesai solat tarawaih yang maut dalam kemalangan jalan raya bersama sahabat karibnya di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, di sini, pada malam Khamis sempat memuji masakan ibunya ketika berbuka puasa.

Ibu mangsa, Sharifah Nur Afzan Syed Abdul Rahman, 48, berkata, mereka seisi keluarga termasuklah anak lelakinya, Muhammad Dhani Arumi Mohd Azlan, 18, sempat berbuka puasa bersama-sama kira-kira jam 7.30 malam.

Dia tahu bihun dimasaknya biasa-biasa saja, namun anak lelaki tunggal itu tetap memuji dengan makan penuh berselera.

"Waktu berbuka puasa, Dhani kata bihun saya sedap bagaimanapun, saya tahu bihun goreng daging itu tidak sedap.

"Dhani kata, bihun saya paling sedap. Dia kata serius, serius bihun ini paling sedap mama," kata Sharifah Nur Afzan ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pada Jumaat.

Sharifah Nur Afzan seakan tidak percaya kata-kata diungkapkan Dhani hingga membuatkan dirinya memandang kakak mangsa.

Katanya, Dhani juga banyak membantu bapanya melakukan kerja rumah beberapa hari sebelum kejadian dan tidak pernah merungut.

Menurutnya, anak ketiga dari empat adik beradik itu turut menunjukkan perubahan termasuk membawa beg silang yang jarang dibawanya ke masjid.

Artikel Berkaitan:

Mohd Niza (kanan) dan Norhayati (kiri) menunjukkan foto Danish (foto kecil) dan rakannya yang maut dalam kemalangan di hadapan SMK Convent.
Mohd Niza (kanan) dan Norhayati (kiri) menunjukkan foto Danish (foto kecil) dan rakannya yang maut dalam kemalangan di hadapan SMK Convent.

"Saya rasa pelik lihat kelakuan dia, jadi tanya mengapa bawa beg silang itu. Dhani cakap mahu pergi minum bersama rakannya, saya lihat juga dia tidak naik motor ke masjid sebaliknya menaiki kereta bersama rakan-rakannya," ujarnya.

Menjelaskan insiden itu, Sharifah Nur Afzan menerima panggilan kira-kira jam 1.30 pagi daripada rakan anaknya memaklumkan Dhani terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia.

Jelasnya, jenazah Dhani akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Masjid Alor Merah selepas proses bedah siasat selesai.

Sementara itu, bapa seorang lagi mangsa, Mohd Niza Nazari, 49, berkata, kebetulan melalui jalan itu untuk membeli juadah sahur kira-kira jam 11.30 malam dan melihat kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi.

Bagaimanapun, katanya, tidak menyangka anak lelakinya, Muhammad Danish Iqbal,18, berada dalam kereta itu dan terlibat dalam kemalangan maut.

Mohd Niza kemudian meneruskan perjalanan memandangkan keadaan terlalu sesak dan polis tidak membenarkan sesiapa memasuki kawasan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, berasa tidak sedap hati apabila dimaklumkan peniaga kedai makan itu bahawa kemalangan terbabit melibatkan lima remaja yang menaiki sebuah kereta berwarna putih.

"Muhammad Danish juga tumpang kereta rakannya berwarna putih namun saya tidak pasti nombor pendaftaran kenderaan terbabit," katanya menerima panggilan dan kunjungan polis memaklumkan anak lelakinya terbabit dalam kemalangan.

Mohd Niza berkata, Muhammad Danish yang baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan satu-satunya anak lelaki mereka.

Bagaimanapun, katanya, dia dan isterinya, Norhayati Ariffin, 47, reda atas pemergian arwah dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan Derga.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua remaja lelaki yang maut dalam kemalangan di hadapan SMK Convent, di sini pada Khamis, dalam perjalanan pulang daripada solat tarawih.

Ketika kejadian, Muhammad Dhani dan Muhammad Danish merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Omar (SMKDSO), menaiki kereta jenis Perodua Myvi bersama tiga lagi rakan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!