'Sebelum 'pergi', Afif sempat bantu ayahnya di bazar Ramadan'

KOTA TINGGI - Ibu kepada mangsa kemalangan maut, Nurasyraf Afif Abdul Ghafar, 20, menyatakan, anaknya rajin membantu bapanya di bazar Ramadan kerana sudah berusia dan tidak mampu mengangkat barang berat.
Kata Nor Hasmidah Hassim, 50, juga guru matematik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara itu, Nurasyraf Afif, seorang pelajar Kolej Vokasional Kota Tinggi terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 8 pagi ketika memandu kereta Perodua Kancil dan bertembung dengan sebuah Nissan Almera yang dinaiki pasangan warga emas, Zainab Abdullah, 68, maut, manakala suaminya, Abas mohtar, 71, parah.
Bercerita lanjut Nor Hasmidah berkata, malam sebelum kejadian, arwah anaknya sempat membantu bapanya menyiapkan tapak perniagaan jualan minyak wangi dan kosmetik di Bazar Ramadan Kluang hingga lewat malam.
"Malam tadi dia temankan ayahnya ke Kluang untuk 'set up' tapak niaga, sebab tapak itu baru dapat dan belum siap. Balik rumah pun dah jam 1 pagi.
"Nurasyraf memang rajin membantu perniagaan keluarga kerana suaminya sudah berusia dan tidak mampu mengangkat barang berat," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi pada Sabtu.
Akuinya, arwah tidak ada menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian berlaku dan anaknya itu yang kini dalam semester terakhir.
"Selepas balik dari bazar, ayahnya sempat masak untuk mereka makan sahur bersama. Apabila dikejut sahur pada jam 5 pagi, dia tak mahu bangun sebab sudah makan bersama ayahnya.
"Biasa sebelum saya ke sekolah saya memang akan kejut dan dia akan bangun sendiri," ujarnya.
Nor Hasmidah memberitahu jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Semenchu selepas selesai urusan di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.

Dalam pada itu, adik ipar kepada Allahyarham Zainab Abdullah, 68, yang maut dalam kemalangan itu, Junaidah Mohtar, 64, berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah ketika majlis yasin seminggu sebelum Ramadan di rumahnya di Mersing.
Katanya, ketika itu arwah sempat meminta maaf kepadanya dan memberitahu Aidilfitri kali ini mungkin hari raya terakhir baginya.
"Saya dimaklumkan arwah dalam perjalanan pulang lepas hantar cucunya yang baru masuk ke Kolej Vokasional Kota Tinggi.
"Setiap hari dia dan suami akan hantar dan jemput cucunya itu pulang," katanya.
Jelasnya, suami arwah juga abangnya Abas, masih dirawat di hospital manakala cucunya pula kini masih dalam keadaan trauma selepas mendapat tahu berita kemalangan menimpa datuk dan neneknya itu.
Tambahnya jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Sibol.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.10 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Kancil memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Nissan Almera yang dinaiki pasangan warga emas.
"Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Kancil dan penumpang hadapan Nissan Almera yang juga seorang suri rumah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

